Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Pelakon dan penerbit filem, Ahmad Idham, 44, memilih untuk membuka sebuah sekolah khas yang menyediakan sistem pendidikan dan terapi sempurna buat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurut Idham, beliau memilih membuka sekolah tersebut kerana cahaya mata sulungnya, Ahmad Firdaus Ahmad Nadzri, 15, merupakan anak istimewa.
Sekolah khas yang diberi nama Eden Firdaus Special Need Centre itu bakal terlaksana apabila pendaftaran awal dibuka awal Januari tahun depan.
Nama sekolah tersebut diambil sempena nama anak sulungnya, Ahmad Firdaus Ahmad Nadzri, 15, yang mengalami kesukaran berjalan dan bertutur akibat diserang sawan ketika berusia dua tahun.
"Sekolah tersebut juga mendapat sokong an penuh isteri saya yang bertindak sebagai pengetua bersama dua rakan kongsi dari Singapura iaitu Mr. K, Pengetua Saint Claire Special Education serta Kelvin Ng Kang Wen. Kedua-duanya juga merupakan pengarah di pusat yang sama.
"Sebelum ini, saya dan isteri tempatkan anak sulung di Saint Claire, Singapura. Selama dua tahun di sana, nampak perkembangan baik dan sihat dengan sistem pembelajaran dan terapi yang disediakan.
"Perkembangan sihat itu telah memberi Firdaus berjalan dan bertutur dengan baik dan boleh difahami walaupun agak perlahan.
"Dari situlah tercetus idea membuka sekolah khas ini. Lagipun, isteri sudah ada pengalaman 14 tahun mengendalikan pusat jagaan dan pendidikan kanak-kanak.
"Sekolah ini khusus untuk mempersiapkan diri kanak-kanak OKU menempuh dunia luar di samping beri harapan mereka juga mampu berdikari tanpa perlu bergantung pada orang lain.
"Kita sediakan sistem pembelajaran dan terapi yang betul. Adalah menjadi impian saya dan isteri untuk melaksana sistem pembelajaran dan terapi buat kanak-kanak OKU ini dan saya juga berharap usaha ini mendapat sokongan kerajaan," ujar Idham dipetik sebagai berkata.
Selain Firdaus, Idham dan isteri, Amy Aziz, 39, mempunyai tiga anak lain iaitu Ahmad Aydeel, 11, Kintan Myra,9 dan Ahmad Khaliff, 5.
Sementara itu, Amy menambah sekolah tersebut khusus buat kanak-kanak istimewa berusia antara empat hingga 20 tahun. Ia bakal memulakan operasi pada pertengahan Januari depan dengan sokongan empat tenaga pengajar berkelayakan dalam pengkhususan kanak-kanak istimewa di peringkat global.
"Bukan hanya untuk pembelajaran sempurna malahan tiga terapi yang betul iaitu fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan.
"Buat masa ini kami ada empat tenaga pengajar di samping membuka pengambilan sebanyak 20 kanak-kanak OKU dahulu. Ianya bakal berkembang sehingga 50 pengambilan pada satu masa dengan penambahan tenaga pengajar," jelas Amy.
Dalam pada itu, Idham juga mengharapkan pembukaan sekolah khas tersebut turut dapat membuka mata ibu bapa lain di luar sana agar tidak 'menyembunyikan' anak-anak OKU.
"Di sekolah ini, ibu bapa turut didedahkan cara betul menjaga dan melakukan terapi kepada anak-anak OKU.
"Kenapa mesti nak malu memiliki anak OKU? Rasa malu itu seolah-olah menidakkan kurniaan Tuhan. Saya kecewa dengan sikap ibu bapa lain yang menyembunyikan anak OKU dan tidak mendedahkan mereka pada kehidupan luar.
"Sekolah khas ini saya dan isteri buka juga bertujuan untuk beri pendedahan pada ibu bapa lain yang mempunyai anak OKU," katanya.
Untuk makluman, Eden Firdaus Special Need Centre ini terletak di bangunan dua tingkat, di Lot U-72-G & U-72-1, Jalan PJU 5/22, Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall, Kota Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur.
________________________
FACEBOOK - SANTAI - PAPARAZZI - NOSTALGIA - GALERI - YOUTUBE - ROMANTIKA - SEJARAH MYARTIS - INSTAGRAM - TWITTER Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment