Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
KAKITANGAN Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Mohd Ramzan Azizi Mohd Amin (kiri) dan A Genasan (kanan), membuat pemeriksaan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar perumahan Taman Botanik berikutan seorang penduduk disahkan mendapat virus zika selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura. - Foto Faiz Anuar
ZIKA adalah contoh penyakit penularan merentasi sempadan yang mampu disebarkan secara cepat melalui infeksi vektor nyamuk aedes seperti juga demam denggi yang berlaku di negara kita. Penyakit ini mula tersebar dari Amerika Latin terutama di Brazil, Colombia dan beberapa negara lain termasuk jangkaan empat juta penduduk di Amerika bakal dijangkiti hingga akhir 2016, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Justeru, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Antarabangsa juga sudah mengeluarkan senarai negara yang disarankan untuk tidak dilawati oleh wanita hamil terutama Caribbean dan Amerika Latin.
Pihak Kementerian Kesihatan kita juga sudah menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan. Tindakan ini selaras dengan kenyataan WHO bahawa virus ini mampu merebak secara cepat jika tidak dilakukan pencegahan awal. Daripada laporan negara yang telah terjangkit, virus zika boleh menyebabkan ibu hamil melahirkan anak dengan kepala kecil (microcephaly) serta memiliki kelainan kepala sehingga perkembangan otaknya terganggu.
Mereka yang terkena jangkitan pula akan mengalami gejala seperti demam, jangkitan kulit, sakit sendi serta infeksi pada mata (conjunctivitis) selama beberapa hari atau minggu.
Kes pertama
Maklumat terkini Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang dikenal pasti dijangkiti virus zika selepas pulang melawat anaknya di Singapura, menjadi kes pertama wabak itu di Malaysia. Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan daripada 115 kes, 57 ialah warga asing sehingga tarikh 31 Ogos lalu. Separuh daripada kes jangkitan zika di Singapura membabitkan warga asing yang menetap atau bekerja di negara itu dengan enam daripadanya rakyat Malaysia.
Langkah kawalan yang boleh dilaksanakan termasuk menghapuskan tempat pembiakan aedes, membasmi larva nyamuk dan semburan kabus racun serangga selain mereka yang mempunyai hubungan terdekat dengan pesakit, diperiksa serta dipantau sama ada mengalami demam atau simptom zika yang lain.
Begitu juga nasihat perjalanan terhadap rakyat harus dilakukan kerana kes pertama zika yang dilaporkan di Malaysia menunjukkan bahawa mudah untuk dijangkiti virus ini dengan melawat tempat yang mengalami wabak seperti Singapura. Selain itu, peranan setiap individu dan masyarakat perlu ditingkatkan dalam usaha menghapuskan nyamuk aedes yang menjadi vektor pembawa penyakit zika. Nyamuk aedes juga vektor utama untuk penyakit seperti denggi dan chikungunya yang sangat mudah dijangkiti oleh orang ramai.
Edar risalah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah, juga telah mengarahkan pihak kementerian untuk mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan zika di dua pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura. Kawalan melalui pintu masuk ke negara jiran ini sebagai langkah awal dan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia serta warga asing yang masuk ke negara kita. Langkah kesiapsiagaan pemantauan itu termasuk menyediakan kumpulan paramedik di pintu masuk bagi menguruskan perkara selanjutnya jika terdapat pelawat yang menunjukkan tanda jangkitan. Beliau menegaskan sejak Februari lalu, kementerian juga mempergiatkan pemantauan serta langkah pencegahan dan kawalan vektor di semua pintu masuk antarabangsa bagi pelawat asing dan rakyat Malaysia yang kembali dari negara yang mempunyai jangkitan virus Zika.
Langkah kawalan ini termasuklah pemantauan di pintu masuk jalan darat dari negara jiran. Bagi pelawat yang tiba dari negara yang ada kes jangkitan Zika, Kad Amaran Kesihatan (Health Alert Card) akan diberikan sebagai panduan dan tindakan yang perlu dilakukan jika mengalami gejala jangkitan setelah kembali dari negara berkenaan.
Sebagai rakyat yang prihatin dan sayang kepada negara, kita perlu sama-sama berganding bahu dan menyokong usaha pengawalan ini secara berterusan. Wabak ini boleh dikawal sebaik mungkin jika perancangan kawalan ini mendapat kerjasama semua pihak.
Pendedahan dan penularan penyakit berjangkit yang tersebar di merata kawasan seperti wabak virus zika ini, dan ada pula yang 'merentas' sempadan negara sebenarnya menjadi ancaman kepada kita semua. Rakyat yang berpenyakit secara fizikalnya akan lemah, kesihatan mental juga turut terjejas dan kualiti kehidupan sesuatu bangsa juga akan terancam.
No comments:
Post a Comment