Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Seorang lelaki yang melarikan diri dari Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, selepas dijatuhi hukuman denda kelmarin, telah menyerah diri di mahkamah pada hari yang sama.
Pegawai Penjaga Mahkamah DSP Zulkifli Osman berkata lelaki itu, Saiful Anuar Abdul Halim, 24, melarikan diri dari mahkamah pada pukul 1.40 tengah hari dan menyerah diri pada jam 4.30 petang.
Beliau berkata timbalan pendakwa raya mahkamah itu telah membawa lelaki tersebut bertemu dengan majistret.
Zulkifli menjelaskan lelaki itu dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara kerana kesalahan menampar seorang pengawal keselamatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Lelaki itu panik kerana menyangka dia bukan sahaja dikenakan denda tetapi juga hukuman penjara.
"Majistret hanya menjatuhkan hukuman denda sahaja terhadapnya dan jika dia gagal membayar denda tersebut, barulah dia boleh dikenakan hukuman tiga bulan penjara," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, Saiful A nuar telah membayar denda itu dan dia tidak dikenakan tindakan atas kesalahan melarikan diri kerana majistret telah memberi peringatan kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Zulkifli berkata lelaki itu bersembunyi di dalam kompleks mahkamah Jalan Duta dan polis dan pengawal keselamatan telah mengambil langkah cepat menutup pintu masuk di kompleks tersebut.
Kelmarin, Mahkamah Majistret 1 di Kuala Lumpur kecoh seketika apabila seorang lelaki yang dijatuhi hukuman denda melarikan diri ketika prosiding kes itu masih lagi berlangsung.
- Bernama
No comments:
Post a Comment