Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Saya mengikuti Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri anjuran Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) yang memberi sijil kelahiran, kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan kepada 84 individu.
Majlis itu diadakan di Paloh, Johor; Parit Buntar dan Teluk Intan, Perak; Sungai Petani, Kedah; dan Petaling Jaya, Selangor. Penerima dokumen terdiri daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas pelbagai kaum.
Pengalaman menyertai majlis ini membuatkan saya terkedu kerana ternyata masalah dokumentasi seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan masih menjadi isu besar, khususnya di kalangan kaum India.
Sejak 2004, sejumlah 8,350 kes melibatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan berjaya diselesaikan di seluruh negara oleh DHRRA Malaysia hasil kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Saya dimaklumkan, hasil pemetaan yang dilakukan pertubuhan itu antara Jun 2014 dan Disember 2015, sejumlah 12,341 kes melibatkan sijil kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan dikesan.
Sejumlah 7,000 kes dokumentasi melibatkan masalah-masalah lain juga sedang diberikan perhatian oleh DHRRA Malaysia dalam usaha mereka membantu komuniti akar umbi mengatasi masalah dokumen pengenalan diri.
Ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-70 MIC pada 6 Ogos 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa sudah tiba masa untuk kerajaan menyelesaikan masalah hak kewarganegaraan melibatkan segelintir kaum India yang lahir sebelum 31 Ogos 1957.
Pada Oktober 2015, DHRRA Malaysia menyerahkan kertas rangka tindakan (blueprint) kepada JPM. Antara saranan yang diketengahkan adalah supaya individu yang lahir di Tanah Melayu (Malaysia) sebelum tarikh kemerdekaan diberikan taraf kewarganegaraan.
Data yang berjaya dikumpul DHRRA Malaysia menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya sembilan kategori individu yang menghadapi masalah dokumentasi yang perlu ditangani, iaitu:
Tidak keterlaluan jika saya katakan segala bentuk masalah dokumentasi di atas menyumbang kepada pelbagai masalah sosial dan menjadi semacam lingkaran syaitan (vicious circle) yang menghalang mobiliti sosial dalam komuniti India, walaupun selepas 59 tahun negara merdeka.
Perdana menteri wajar mengambil langkah bagi mengatasi kesemua masalah kewarganegaraan ini secara keseluruhan supaya tumpuan dapat diberikan kepada aspek pembangunan komuniti sepenuhnya selepas ini.
Jika tidak, sampai bila-bila pun komuniti India di Malaysia akan terus menderita, dan terus menyalahkan kerajaan kerana gagal membantu mereka.
UTHAYA SANKAR SB ialah pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan penulis sepenuh masa
No comments:
Post a Comment