Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
CATATAN SEDIH!! Si Anak Kecil Ini, Membuat Ibu Bapanya SEDAR Erti KASIH SAYANG…Tulisan ini dikongsikan oleh Tuan Ammar Muhamad menceritakan memori anaknya yang menyedarkan mereka tentang erti kebahagian yang sebenar. Semoga memberikan sedikit pengajaran kepada para ibu-bapa diluar sana.
Memori ini, semasa Zulfa darjah 3. Dia memang tiada facebook. Tetapi dia ada 'Wall' sendiri untuk meluahkan perasaan.
Catatan inilah yang menyedarkan kami, dalam diam, anak-anak ada dilemanya sendiri. Ada amukan rasanya sendiri. Walaupun bagi kami, kami bekerja keras mencari lebih wang demi untuk membahagiakan mereka. Namun, bagi mereka, kebahagiaan adalah apabila kami berada di sisi, pada saat mereka meraikan peristiwa penting dalam hidup mereka.
Mudah saja erti KEBAHAGIAAN bagi mereka, tidak seperti yang kami sangka.
Sejak itu, kami belajar melihat kebahagiaan dari mata mereka. Apabila mereka menyertai mana-mana pertandingan, kami akan sentiasa 'ada' bersama mereka. Apabila mereka menyertai apa-apa persembahan, kami di hadapan bertepuk tangan untuk mereka. Apabila mereka sedih mengalami kekalahan, kami sedia untuk memeluk mereka. Bagi kami, usaha mereka tidak sia-sia sekalipun kalah. Hanya hasilnya belum tiba.
Sewaktu bersama rakan-rakan Zulfa dalam satu pertandingan, terdengar bisikan rakannya.
"Awak untung, family awak datang tengok. Ayah saya hantar saya, selepas tu balik. Nanti dah habis baru suruh telefon." Sugul riak wajahnya.
Terusik juga hati saya. Jika ayahnya tahu, kebahagiaan anaknya hanya dengan duduk dan melihat anaknya 'bertarung'. Pasti dia akan tunggu dan terus tunggu.
Kami sedar, kebahagiaan itu murah caranya, tetapi tinggi nilainya, bukan mahal caranya, tetapi rendah nilainya. Jika kebahagiaan punya matawang untuk dibeli, bukan RM yang diperlukan, tapi KS yang lebih bermakna.
"Kasih Sayang"
Sementara mereka masih menagihnya dari kita, berikan saja. Apabila sampai saat mereka sudah penat menantinya dari kita, Ketika itu, mereka sudah semakin jauh dari kita. – Tuan Ammar Muhamad
No comments:
Post a Comment