Recent Post

Friday, August 28, 2015

Aktiviti Program Jiwa Murni ATM Boleh Dikembangkan


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

KUNDASANG – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin aktiviti di bawah Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh diperluaskan dan dipelbagaikan demi mendekati dan membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata selain membantu memperbaiki atau membina rumah rakyat yang ditimpa kesusahan, termasuk akibat bencana alam, program Jiwa Murni juga boleh membantu dalam pembinaan inftrastruktur asas lain seperti jalan raya ataupun jambatan yang sukar dilaksanakan melalui kaedah biasa.

"Saya sebenarnya cukup yakin bahawa ia dapat diperluaskan kepada pendekatan-pendekatan yang sesuai. Kesesuaiannya banyak bergantung kepada keperluan orang ramai, sekiranya rakyat perlukan sentuhan daripada tentera, sama ada ia jalan raya atau jambatan.

"Saya mendapat laporan ada beberapa jambatan yang perlu kita lihat di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri merasakan mereka tidak mampu lakukannya kerana bahaya cerun. ATM dalam hal ini tidak teragak-agak untuk tampil ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Murni kerjasama Angkatan Tentera Malaysia-Media Prima Berhad di sini Jumaat.

Melalui program berkenaan, ATM dan Media Prima bekerjasama membina 12 buah rumah yang rosak akibat gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun lalu.

Media Prima memperuntukkan RM200,000 manakala ATM menyediakan kepakaran dengan seorang pegawai dan 26 anggota dari 5 Skuadron Kor Jurutera Diraja (RAJD) dan dari 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk projek baik pulih 12 buah rumah itu, tiga daripadanya di Parlimen Ranau dan sembilan lagi di Parlimen Kota Belud.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Panglima Pemerintah Medan Timur Lt Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Pengarang Urusan NST Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Hishammuddin, ATM dan Media Prima telah bersepakat untuk meneruskan kerjasama pintar itu yang disifatkan beliau sebagai 'menang-menang' antara kedua-dua pihak pada masa-masa akan datang apabila berhadapan dengan sebarang bentuk bencana termasuk banjir.

Katanya sebelum ini, ATM dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah menyalurkan bantuan sejak awal kejadian gempa bumi lagi di mana aset-aset ATM digerakkan termasuk helikopter, kenderaan tiga tan, jurutera, pasukan perubatan serta anggota.

Hishammuddin berkata program Jiwa Murni berkenaan merupakan komitmen berterusan ATM dalam membantu masyarakat Ranau dan Kota Belud yang terkesan akibat gempa bumi selain untuk mendekatkan ATM dengan masyarakat setempat serta meningkatkan keyakinan mereka dengan ATM.

"Saya percaya, ia (Program Jiwa Murni) dapat diterima baik oleh masyarakat setempat, ia dapat menyatupadukan rakyat setempat, ia akan dapat menyedarkan rakyat Sabah bahawa Angkatan Tentera Malaysia tetap bersama dengan mereka dalam keadaan senang dan susah," katanya.

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada Biro Kebajikan UMNO Malaysia kepada 252 orang malim Gunung Kinabalu yang hilang punca pendapatan berikutan kejadian gempa bumi. – BERNAMA

Komen

comments




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *