Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
KUALA LUMPUR 6 Jun - Malaysia menaruh keyakinan kuota haji negara untuk tahun ini akan bertambah 10,000 orang berbanding jumlah semasa 22,230 jemaah dengan permohonan rasmi kepada kerajaan Arab Saudi sudah dibuat seawal Januari lalu.
Abdul Azeez Abdul Rahim
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada hubungan baik kedua-dua negara serta dibantu jalinan persahabatan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Raja Arab Saudi.
"Setakat ini kita belum (menerima jawapan balas kerajaan Arab Saudi), tapi kami akan minta Perdana Menteri bantu kami. Kita berharap Perdana Menteri atas nama sahabat dengan Raja Arab Saudi dan hubungan baik kedua-dua negara, kuota bertambah.
"Kita sama-sama berdoa, tahun lepas pun Arab Saudi beri tambahan 5,000 jemaah dan dengan sekatan ke atas jemaah Iran, permintaan kita untuk tambahan 10,000 mungkin akan dipertimbangkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Azeez menyerahkan dua buah kereta Proton Exora (1.6 CVT Turbo Executive) kepada johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan Ke-59 iaitu Wan Ainuddin Abdullah, 34, dari Kelantan serta Nor Azrah Ayub, 38, (Johor).
Mengulas lanjut, beliau seterusnya meminta para jemaah yang telah menerima surat tawaran agar segera mengemaskini buku berkaitan haji serta nombor telefon masing-masing dengan Tabung Haji untuk memudahkan sebarang urusan jika kuota tambahan itu diluluskan di saat-saat akhir.
"Kita tidak mahu berlaku seperti tahun lepas, apabila Arab Saudi meluluskan kuota tambahan 5,000 jemaah, 10 jemaah yang sepatutnya menunaikan haji gagal berbuat demikian kerana tidak mengemaskini nombor telefon menyebabkan gagal dihubungi," katanya.
Menyentuh mengenai kos haji pula Abdul Azeez berkata, tambang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bagi jemaah pertama kali kekal RM9,980 walaupun kos sebenar sudah menjangkau hampir RM18,000 untuk setiap seorang jemaah.
Kepada soalan mengenai perkembangan pampasan kren tumbang kepada jemaah Malaysia dalam insiden musim haji yang lalu, beliau berkata, masih belum ada perkembangan terkini berhubung perkara tersebut.
"Kalau sudah dapat nanti dan sekiranya ia dibayar melalui Tabung Haji, kami akan mengagihkan pampasan tersebut kepada semua keluarga mangsa tetapi buat masa sekarang belum ada perkembangan terkini mengenainya. Kita tunggu sahajalah," ujarnya.
No comments:
Post a Comment