Sebuah buku berkaitan latar belakang 'raja repot' polis Malaysia Rani Kulup diumumkan hari ini.
Diberi judul #Kipidap, buku dijangka kira-kira 300 halaman itu antaranya merakamkan perjalanan hidupnya ketika muda, berkhidmat sebagai tentera, perjuangan bangsa Melayu dan komen lucu mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kira-kira 100 gambar menarik juga dimuatkan dalam buku berkenaan.
Penerbitnya Puteh Press Sdn Bhd berkata, buku itu akhirnya dapat diumumkan juga hari selepas tertangguh sedikit.
"Ia sudah dapat kelulusan Polis Diraja Malaysia.
"Mereka sangat teliti dan bagi khidmat nasihat untuk elak isu sensitif dan tindakan undang-undang," kata jurucakap Puteh Press Adzkia Amanah Ugi Suharto dalam sidang media di Batu Caves petang tadi.
Katanya penelitian polis perlu dibuat kerana ia melibatkan pihak lain yang disebut dalam laporan polisnya.
Rani Kulup atau nama sebenarnya Abdul Rani Kulup turut terkenal dengan gelaran Ayahanda Arka.
Lelaki 60 tahun itu bergiat aktif sebagai presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
Beliau menjadi fenomena media sosial kerana sering membuat laporan polis mengenai pelbagai isu semasa dalam negara.
Sehingga kini sudah hampir 500 laporan dibuat oleh Rani,
Selain itu, beliau sering menggunakan perkataan "kipidap" yang menjadi trend di Facebook, Twitter mahupun Instagram.
"Selama ini kita tahu mengenai ayahanda Arka hanya melalu media sosial. Pelbagai imej dan kisah mengenainya yang kita tidak tahu kesahihannya.
"Kami terpanggil untuk membukukan kisah beliau kerana namanya sering dicari dalam carian Google.
"Kalau kita klik pada carian, perkataan itu akan berada di atas sekali. Beliau begitu dekat dalam hati masyarakat," kata Adzkia.
'Ayah ada pendapatan'
Rani pula bersyukur kerana buku itu memberikan rezeki kepadanya.
"Sebelum ini ayah tidak ada pekerjaan, tetapi dengan buku ini ada pendapatan," katanya.
Rani memberitahu, tiada siapa mengajarnya menulis buku, tetapi Puteh Press datang memberi dorongan kerana mereka berminat untuk mengetahui mengenai kisah hidupnya.
"Tiada siapa mengajar, cuma Puteh Press datang dan bersembang dengan ayah, mereka cek aktiviti dan hendak tahu aktiviti sebenar ayah lakukan," katanya.
Kipidap sudah pun lapan puluh peratus siap setakat ini dan #Kipidap dijadual berada dalam pasaran Oktober nanti.
Selain menjadi penulis buku, nama Rani semakin melonjak naik dalam pelbagai bidang.
Beliau sebelum ini dilapor ditawarkan menjadi pelakon dalam dilem Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi terbitan Metrowealth (MIG) Pictures Sdn Bhd dan diangkat sebagai artis rakaman, dengan duet bersama Radhi OAG.
Read more ...