Selepas bertahan selama 31 tahun dengan menyajikan pelbagai kisah terutama membabitkan wanita, program Nona yang ditayangkan di TV3 sejak 1985 diiktiraf sebagai program majalah TV wanita paling lama bersiaran di Malaysia di Anugerah Tribute To Women Malaysia 2016, baru-baru ini.
Anugerah itu disampaikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Penerbit Eksekutif Women Lifestyle Primeworks Studio Ezzah Aziz Fawzy berkata, pengiktirafan ini adalah untuk semua kru Nona yang terbabit.
"Kami anggap pengiktirafan ini untuk semua ahli keluarga Nona yang bertungkus-lumus selama ini dalam memberikan pengisian menarik dan terbaik buat penonton.
"Kami sangat berbangga atas apa yang diberikan. Nyata penat lelah Nona dapat bertahan sehingga ke hari ini berbaloi. Insya-Allah kami akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap pengisian Nona dengan memastikan dapat memberikan sesuatu yang eksklusif dan terkini kepada penonton," katanya yang juga pernah menjadi pengacara Nona ketika awal kemunculannya.
Ezzah berkata, pihaknya turut berharap Nona diiktiraf dalam Malaysia Book Of Records sebagai program majalah wanita TV paling lama bertahan.
Idea dan konsep asal Nona yang mula bersiaran di TV3 sempena Hari Wanita pada 25 Ogos 1985 dicetuskan penerbit pertamanya, Anwardi Jamil.
Pengacara pertama Nona ialah Dian P Ramlee sebelum diambil alih oleh Furzanne R, Azizah Mahzan, Nurfarahin Jamsari, Christine Ling dan Ezzah sendiri.
Selepas Anwardi, Nona diterbitkan Wan Maharuddin Sulaiman, Karim Muhammad dan Masitah Jeffrey.
Ketika itu Nona di bawah Jabatan Penerbitan sebelum diletakkan di bawah Jabatan Berita & Ehwal Semasa dengan penerbit Nuraeshah Malik dan Ezzah selaku pengacara.
Sehingga hari ini, Nona melalui evolusi dengan 13 penerbit dan 21 pengacara yang silih berganti, namun misi utama program ini iaitu memperkasakan wanita serta mencerna minda wanita tetap sama.
Antara yang pernah menjadi pengacara Nona ialah Puan Sri Normala Samsudin, Raja Mazian Raja Mohamed, Norjuma Habib Mohamed, Azizah Ariffin, Nurul Shuhada, Maya Karin, Vanidah Imran, Neelofa, Fouziah Ghouse dan terbaru Saidatul Naseha dan Uyaina Arshad.
Bersiaran setiap Ahad jam 2 petang sekarang ini, Nona memaparkan pelbagai isu berkaitan wanita dan keluarga di dalam dan di luar negara.
Ezzah berkata, anugerah dan penghormatan yang diberikan ini adalah untuk semua penerbit dan pengacara serta seluruh warga kerja Nona yang terbabit selama 31 tahun.
Nona juga program TV pertama yang memperkenalkan rancangan realiti mereka sendiri iaitu Pengacara Jemputan Nona (PJN) yang mula diperkenalkan pada 1990.
Sehingga kini, Nona masih mendapat tempat di hati penonton. Maklum balas daripada penonton sering diambil kira bagi memastikan program Nona sentiasa relevan dengan keadaan semasa.
Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan Nona dapat berinteraksi dan dekat dengan penontonnya.
Hingga saat ini, Nona berjaya mempertahankan programnya dan masih menjadi antara program tumpuan ramai terutama wanita.
Read more ...