Kejadian yang menyaksikan sebuah kereta terjunam ke dalam lubang sedalam kira-kira 60 kaki di Jalan Universiti, Petaling Jaya kelmarin membuatkan penduduk di sekitar bandaraya itu bimbang dengan keselamatan mereka.
Ini kerana, terdapat banyak lubang yang sedemikian di sekitar jalan di bandaraya itu.
Dalam tinjauan Malaysiakini di Jalan Othman, Petaling Jaya sahaja, terdapat empat lubang yang kedalamannya dipercayai sama dengan lubang yang telah menelan sebuah kereta semalam yang jaraknya tidak sampai 100 meter.
Tinjauan itu juga mendapati tahap keselamatan pengguna di kawasan terbabit sangat rendah dan tidak ada papan tanda yang menyatakan ada kerja pembinaan.
Apatah lagi dengan kawalan keselamatan di kawasan terbabit. Keadaan yang sama juga dapat dilihat di sepanjang Jalan Universiti, Petaling Jaya.
Tinjauan Malaysiakini juga mendapati rata-rata penduduk dan pengguna jalan raya sekitar Petaling Jaya bimbangkan keselamatan mereka, lebih-lebih lagi di waktu malam.
Menurut Suhana Sabtu, 46, meskipun sudah menggunakan jalan raya di situ selama lebih 23 tahun kerana meniaga di kawasan berdekatan, namun beliau tetap bimbang akan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, jalan tersebut akan menjadi lebih bahaya kepada pemandu luar yang datang ke bandarayaitu serta kanak-kanak yang pulang dari sekolah dan melalui kawasan berkenaan.
"Bagi kita yang biasa gunakan jalan ini pun bimbang, inikan pula orang baru, mereka tak tahu bagaimana keadaan jalan di sini dan mungkin tak perasan jalan ini macam mana, melainkan mereka ada letak lampu atau papan tanda yang menyatakan jalan sedang dibaiki. Ini tak ada langsung, cuma kon plastik itulah.
"Yang paling kami risaukan di sini ialah anak-anak balik sekolah, takut mereka datang dekat dengan kawasan lubang dan terjatuh. Siapa nak bertanggunjawab?" tanya Suhana ketika ditemui Malaysiakini.
Bagaimanapun, Suhana berkata beliau akur dengan apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa di situ.
"Memanglah (rasa) tak selamat. tapi mereka tengah buat kerja," kata Suhana.
Namun, tegas Suhana, beliau berharap sangat pihak berkuasa memandang serius apa yang berlaku ini agar tidak ada lagi kejadian yang tidak diingin berulang.
"Mereka kena tingkatkan tahap keselamatan di kawasan terbabit dengan meletakkan papan tanda yang mengatakan kawasan tersebut sedang dalam pembinaan atau apa saja.
"Letaklah patung ke, lampu yang orang boleh lihat dari jauh. Ini kon plastik, dari jauh orang tak nampak dan bila malam lagilah orang tak dapat lihat.
'Jadi, bila tak nampak orang terus terjah sajalah," tegas Suhana sambil menyatakan beliau sendiri tidak berani mendekati kawasan lubang itu.
Selain itu, kata Suhana yang sudah 23 tahun meniaga di kawasan itu, kerja-kerja pembinaan itu bukan sahaja membimbangkan, sebaliknya mengakibatkan kerugian kepada peniaga di sekitar bandaraya itu.
"Dekat kawasan PJ ini saya pun tak tahulah apa yang mereka buat dan apa yang dibuat, sebab tak ada penerangan apa pun kepada kami. Yang kami tahu kawasan tersebut dikorek kemudian kambus.
"Jalan raya jadi sesak, pasar pun tak ramai orang datang. Hasil meniaga kami pun berkurangan sebab kerja-kerja pembinaan ini," kata Suhana.
Sekitar jam 3 petang kelmarin berlaku satu kemalangan dekat simpang di Jalan Universiti, Petaling Jaya di mana sebuah kereta jatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira 60 kaki dalam kawasan pembinaan di situ.
Dalam kemalangan itu seorang lelaki warga emas dan pembantunya dilaporkan terperangkap dalam lubang yang berair itu sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff Ahmad, 54, yang juga peniaga di sekitar Jalan Othman mendakwa apa yang berlaku semalam berpunca dari sikap pemaju yang tidak sistematik.
"Macam mana tak berlaku kemalangan, mereka ini belum siap korek satu lubang, sudah buat lubang yang lain. Itu yang mendatangkan bahaya.
"Mereka sepatutnya korek satu lubang dan siapkan. Kemudian baru korek lubang yang lain," keluh Mohd Yusoff.
Menurutnya lagi, keadaan jalan yang sempit serta lampu yang jalan tidak berfungsi sepenuhnya juga menjadi penyumbang kepada kemalangan tersebut.
"Jalan di sini pagi-pagi sesak dan jadi sempit. Lampu jalan pula setengah ada, setengah tak ada, itu yang dibimbangkan, takut kita tak perasan. Itu yang berlaku kemalangan.
"Macam kami yang berniaga di sini pun yang gunakan jalan ini hari-hari tetap risau. Kalau boleh percepatkanpembinaannya," tambahnya.
Manakala seorang pengguna jalan di situ, KM Loh, 45, berkata kemalangan yang berlaku semalam membuatnya takut.
Namun, Loh berkata, beliau tidak boleh berbuat apa selain menggesa pihak berwajib segera menyelesaikan kerja pembinaan itu.
"Betul-betul takut dengan keadaan jalan di sini tapi mereka kena cepat-cepat selesaikan kerja merekalah.
"Tengok saja di jalan ini (Jalan Othman) berapa banyak lubang dia buat?
"Perasan tapi kami tak boleh buat apa, sebab mereka sedang buat pemasangan paipkan," kata Loh kepada Malaysiakini.
Kebimbangan yang sama turut dikongsikan oleh seorang pekerja swasta, Jasmin Iskander, 32.
"Pada waktu malam pula kebanyakan lampu jalan tak hidup di sekitar pusat bandar disebabkan kerja-kerja pembinaan malah papan tanda amaran pun tidak begitu memuaskan. Jadi, berhati-hatilah kepada mereka yang memandu di sini," katanya.
Manakala Ravi Arikrishnan, 47, seorang pemandu peribadi, menggesa pihak berwajib bertindak segera dengan mempertingkatkan langkah keselamatan jalan raya di situ.
"Memang bahaya keadaan jalan raya di sini, kita minta pihak berwajib selesaikan segera pembinaan lubang itu sebab kita guna jalan ini hari-hari," katanya.
Begitu juga dengan Hasnah Mohamad, 45, yang mahu pihak berwajib lebih mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan pembinaan tersebut.
"Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab selesaikan pembinaan di jalan ini segera. Kami risau dengan keselamatan jalan di sini. Tolong utamakan keselamatan kami," tegas Hasnah.