Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Dana Sedunia Alam Semulajadi (WWF) Malaysia menggesa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi berkaitan untuk meningkatkan usaha mendidik masyarakat Orang Asli tentang larangan penggunaan jerat bagi menangkap haiwan.
WWF Malaysia menyatakan pendirian itu sebagai maklum balas terhadap laporan mengenai seekor harimau jantan yang terperangkap dalam jerat babi sehingga tercedera di Tapah.
Pengarah Eksekutif WWF Datuk Dr Dionysius Sharma berkata penggunaan jerat haiwan diharamkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang menyatakan mana-mana individu didapati bersalah memiliki atau meletakkan perangkap haiwan akan dikenakan penalti maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara.
"Dalam kejadian kelmarin, kami memuji langkah Orang Asli terbabit yang tidak bertindak membunuh atau menjual harimau yang memasuki jerat berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan seekor harimau jantan berusia 17 tahun yang terperangkap dalam jerat babi sejak Ahad di Ladang Eden, Batu 10, Jalan Pahang di Tapah.
Akibat terkena dawai perangkap dipasang penduduk Orang Asli untuk menangkap babi, harimau seberat kira-kira 200 kilogram itu cedera di kakinya.
Dalam pada itu, Dionysius berkata negara ini kehilangan enam harimau dalam tempoh sebulan, termasuk dua anak harimau.
- Bernama
No comments:
Post a Comment