Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
19/08/2016 3:15pm
Kakitangan Pos Malaysia, Tengku Ayu Munirah Tengku Ab. Rahman menunjukkan koleksi terbaharu setem bertemakan Tujuh Keajaiban Flora & Fauna hari ini. Foto: POS MALAYSIA
Kuala Lumpur - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia bertempat di Dataran Dato' Ismail Hutson, Zoo Negara pada Selasa depan.
Pelancaran siri setem ini akan dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh berkata, kolaborasi antara Pos Malaysia dan Zoo Negara merupakan sebahagian daripada usaha mendidik para penggumpul setem serta orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Selain itu, katanya, pelancaran siri setem itu juga adalah untuk menyambut ulang tahun kelahiran dua ekor beruang panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang.
"Kita hidup di dalam persekitaran ibarat sebuah hutan konkrit. Justeru, kami ingin berkongsi mesej positif kepada semua lapisan masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan ekosistem melalui siri setem flora dan fauna ini," katanya pada satu kenyataan di sini semalam.
Siri setem Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia ini dicetak di atas lembaran yang didatangkan dalam tujuh denominasi setem dalam pelbagai kategori flora dan fauna.
Kesemua setem dijual pada harga bermula RM0.20 sen hingga RM2.10 setiap satu dan orang ramai boleh mendapatkannya di seluruh pejabat pos bermula minggu depan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment