Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Masa memulangkan "paku buah keras" untuk Datuk Ibrahim Ali.
Dimomokkan sebagai 'katak politik' kerana bertukar parti beberapa kali, kali ini bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu mentertawakan ahli politik PAS yang meninggalkan pertubuhan itu untuk menyertai Parti Amanah Nasional (AMANAH).
"Sekarang siapa bapa katak? Ludah jatuh ke muka sendiri. Malu, malu. Sebab itu jangan tuduh dan menghina orang. Akhirnya jatuh atas hidung sendiri," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) itu berkata negara ini dilanda "tsunami politik lompat parti" sehingga ada tokoh tertentu yang bertukar tiga atau empat kali.
Kata Ibrahim, pertukaran itu seakan 'lompat galah'.
"Ertinya, sukarela," katanya.
Sejak akhir-akhir ini ramai ahli dan pimpinan PAS meninggalkan parti itu untuk menyertai kumpulan lain, termasuk PKR atau AMANAH.
Terbaru Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Mesra BN
Ibrahim adalah tokoh gerakan mahasiswa di waktu mudanya dan pernah menyertai Umno, BERJASA dan Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dia pernah berbaik-baik dengan PAS sehingga diberi keizinan oleh parti berkenaan bertanding di Pasir Mas tanpa dicabar gabungan pembangkang.
Selepas menang, Ibrahim kemudian menjadi ahli parlimen yang mesra kepada BN.
Kata Ibrahim amalan bertukar parti bukanlah suatu kesalahan dan dalam kes tertentu, dibuat kerana terpaksa atau menjadi mangsa keadaan.
"Cuba kaji dengan secara teliti mereka yang melompat atau bertukar parti secara ilmiah. Pasti terjawab Tok Him (Ibrahim) mungkin paling bersih," katanya.
Beliau turu menawarkan diri sebagai perunding politik walaupun dilihat "kotor" oleh pihak lain.
"Ada pemimpin (lain) dan tokoh nampak bersih atau baik, tapi kotor dan rekod buruk," katanya.
No comments:
Post a Comment