Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Isu pembelian banglo Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, George Town dekat sini bukan sengaja dibangkitkan oleh Umno atau BN untuk 'menyerang' ketua menteri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata isu itu dibangkitkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan daripada beberapa pihak lain dan bukannya Lim semata-mata.
"Datuk Shabudin bertanya untuk mendapatkan jawapan daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) berhubung penjualan banglo yang didakwa murah berbanding harga pasaran.
"Beliau (Shabudin) tidak menyerang Lim secara peribadi sebaliknya ingin tahu dan mendapat penjelasan. Saya berpendapat ketua menteri juga harus tampil dan menjawab perkara itu," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Koon Yeow yang mendakwa isu pembelian banglo Lim dan kaitannya dengan tanah Taman Manggis adalah serangan peribadi.
Reezal Merican yang juga anggota Parlimen Kepala Batas dan timbalan menteri luar berkata Lim perlu tampil dan memberi penjelasan berhubung isu banglo itu kerana rakyat Pulau Pinang juga mahukan jawapan daripadanya.
"Bagi saya, perkara ini membangkitkan tiga perkara yang jelas perlu dijawab sendiri oleh Lim iaitu yang pertama apakah pembelian di bawah harga pasaran ini benar berlaku atau sebaliknya.
"Kedua secara tidak langsung, pembelian ini adalah suatu yang luar biasa dan perlukan penjelasan daripada pihak-pihak terlibat manakala yang terakhir apakah pembelian luar biasa ini mengikut undang-undang dan tidak mempunyai agenda lain," katanya.
Dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Shabudin yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang meminta JPPH membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli Anggota Parlimen Bagan itu sedangkan nilai semasa rumah itu adalah lebih RM3 juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
- Bernama
No comments:
Post a Comment