Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
INDUSTRI minyak dan gas (O&G) bakal berdepan banyak cabaran dan rintangan tahun ini, khususnya berikutan kurangnya perkembangan dalam sektor huluan.
Namun, sektor O&G sebenarnya tidak asing kepada keadaan ekonomi yang sangat mencabar, kerana sudah melalui pengalaman sama ketika kejatuhan harga minyak kepada kurang AS$10 satu tong pada 1998.
Mengikuti Laporan Tahunan Program Transformasi Malaysia, bezanya kini adalah, industri dan syarikat O&G berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan harga pasaran dunia kerana peningkatan kecekapan dan keperluan yang sudah dibina dalam beberapa tahun ini.
"Satu kesan positif yang boleh dilihat ialah situasi ekonomi semasa menjadi pendorong kuat bagi syarikat O&G untuk mengambil langkah bagi memantapkan operasi pengeluaran, sekali gus memperkukuh daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan industri dan perkembangan di luar jangkaan.
"Dalam menghadapi pelbagai cabaran, tahun ini kerajaan menerusi kerjasama dengan sektor swasta, akan memastikan kemudahan prasarana sumber tenaga di Malaysia kekal teguh," kata laporan itu.
TPA liberalisasi pasaran gas
Usaha untuk mempelbagai sumber tenaga negara dan dan langkah ke arah penentuan harga berdasarkan pasaran semasa akan membentuk agenda negara dalam mencapai matlamat yang diingini bagi industri ini.
Kerajaan juga, katanya, akan menumpukan usaha ke arah menyiapkan rangka kerja yang perlu bagi Akses Pihak Ketiga (TPA) serta mendorong penetapan harga gas yang lebih rasional.
TPA akan membuka jalan ke arah liberalisasi pasaran gas di Semenanjung Malaysia yang mana perkembangan liberalisasi pasaran akan membantu kemasukan banyak pemain baharu di dalam industri, menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien, serta memberi manfaat kepada pengguna dengan penetapan harga minyak dan gas yang lebih kompetitif.
Pada masa sama, akta TPA akan menumbang ke arah pembinaan asas yang lebih kukuh bagi keselamatan tenaga negara, menjamin perkembangan ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan.
Pertingkat aktiviti persaingan
Kesimpulannya, sektor minyak, gas dan tenaga (OGE) dirumus kukuh tahun ini mengambil kira pelbagai kitaran perniagaan.
Persekitaran harga minyak semasa yang rendah mewujudkan peluang bagi industri ini untuk pengimbangan semula serta proses penyesuaian bagi memastikan pulangan terbaik atas pelaburan dan bukan sekadar memapan ekonomi yang merudum.
Dalam usaha penyesuaian syarikat minyak dengan 'situasi terkini' dan aktiviti ekonomi yang semakin berkurangan dalam industri, aktiviti persaingan perlu dipertingkatkan yang mana syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta pembekalan peralatan (OGSE) perlu mengambil kira untuk meneroka peluang bekerjasama dengan rakan seindustri bagi meningkatkan daya saing masing-masing, sekali gus meletakkan industri dalam kedudukan yang baik apabila pasaran minyak dunia kembali pulih.
Tahun lalu, sektor OGE menyumbang sebanyak 17 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 21.5 peratus (anggaran Bajet Kementerian Kewangan 2015) dalam sumbangan kepada pendapatan kerajaan.
INFO: NKEA OGE
1. Mengekalkan kelestarian penghasilan O&G tempatan
2. Menjadikan Malaysia hab Asia bagi pembekalan perkhidmatan minyak
3. Harga minyak masa hadapan (Kopntango) mendorong permintaan untuk penyimpanan stok
4. Langkah ke arah mencapai kecekapan penggunaan tenaga
No comments:
Post a Comment