Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Fenomena hujan batu yang melanda ibu negara awal bulan ini boleh berlaku dengan kekerapan tiga kali dalam setahun,kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.
Beliau berkata pada tahun ini, sebanyak dua kejadian hujan batu berlaku di Malaysia, pertama pada Januari lepas di Bukit Jelutong, Shah Alam dan yang terbaru pada 3 Jun lepas di Bukit Jalil.
"Kejadian hujan batu yang melanda negara bukanlah satu fenomena yang luar biasa tetapi ia amat jarang berlaku di negara kita.
"Berdasarkan rekod yang kita ada, ia boleh berlaku dengan kekerapan antara satu hingga tiga kejadian dalam tempoh masa setahun," katanya kepada Bernama.
Madius berkata fenomena hujan batu terhasil apabila ketulan ais terbentuk dalam awan ribut petir atau awan kumulonimbus, iaitu sumber utama pembentukan hujan ribut petir, disebabkan oleh arus perolakan yang kuat dalam awan tersebut.
"Hujan batu lazimnya berlaku ketika ribut petir kuat dalam ketinggian awan yang melepasi takat beku sehingga mencapai 40,000 kaki," katanya.
Madius berkata saiz hujan batu yang terhasil lazimnya adalah antara 5mm atau sebesar biji kacang sehingga 1.5cm iaitu sebesar sebiji guli.
"Kejadian hujan batu ini biasanya berlaku setempat iaitu sekitar kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus. Tempoh kejadian juga agak singkat iaitu hanya lebih kurang 20 minit sahaja," katanya.
Dalam kejadian hujan batu yang melanda ibu negara pada petang 3 Jun lepas, rekod Stesen Meteorologi Petaling Jaya menunjukan hujan berukuran 60.2 milimeter serta kelajuan angin mencapai 46.8 kilometer sejam adalah sebab berlakunya fenomena hujan batu itu.
Dalam pada itu, Madius menasihatkan orang ramai yang berdepan kejadian hujan batu atau seumpamanya supaya menjauhi tingkap dan segera berlindung di tempat yang selamat.
"Jika berada di dalam kenderaan, pastikan anda meletak kenderaan (berlindung) di bawah jambatan atau struktur yang kukuh," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment