Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Dr Abdul Rani Osman yang hadir ke program anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) kelmarin, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Katanya, kehadiran calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar itu adalah atas kapasitinya selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru dan bagi meraikan kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Kita sudah bincang sebelum itu, dan kita memang merasakan bahawa calon kita patut pergi (ke program) itu, sebab yang hadir adalah menteri besar dan kalau kita lihat menteri besar hadir kelmarin pun beliau tidak pakai baju parti," katanya dalam sidang media di markas induk parti itu di Simpang Lima, di Sungai Besar semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran Dr Abdul Rani ke program anjuran Amanah yang turut dihadiri Mohamed Azmin, kelmarin.
Pada program itu, Azmin menyatakan sokongannya kepada calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur untuk PRK itu dan dalam masa yang sama turut mendoakan yang terbaik untuk Dr Abdul Rani.
Mengenai penyebaran mesej palsu menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan keputusan Dewan Ulamak PAS Selangor yang kononnya kecewa dengan tindakan Dr Abdul Rani itu, Iskandar berkata ia adalah tindakan terdesak pihak yang sengaja mahu mengeksploitasi isu tersebut.
- Bernama
No comments:
Post a Comment