Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Jangan percaya pada Amerika Syarikat terutama apabila melibatkan kepentingan negara Islam... itu mesej PAS kepada ahlinya dan seluruh rakyat Malaysia.
PAS menafikan ia membela Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan langkah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan korupsi dan kecurian wang dalam syarikat milik negara 1MDB.
Sebaliknya, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu hanya mahu mengingatkan sejarah kuasa besar itu apabila melibatkan negara Islam.
"Siapa tidak kenal Amerika terhadap negara umat Islam," soal Idris.
"Kononnya Osama Bin Laden sembunyi di Afghanistan, apa yang terjadi selepas itu. Memburu kumpulan al-Qaeda di Iraq, selepas itu apa yang terjadi. Di Syria atas nama hendak memerangi IS, rakyat Syria menderita. Ini peringatan umum. PAS konsisten mengenai hal kedaulatan negara," katanya.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan membuat desakan supaya Najib meletak jawatan susulan langkah Jabatan Kehakiman AS menyita aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion.
Sambil berkata ia terpulang kepada Barisan Nasional, beliau turut memberi peringatan agar pihak asing tidak campur tangan dalam siasatan terhadap dana negara itu.
"Kes 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus, tidak boleh dibiarkan. Namun jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan. Jika ia berlaku, itu silap kita sendiri.
"Kita sendiri yang perlu siasat bukan pihak luar," katanya.
Rabu lalu, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.
Sementara itu, Idris membidas mereka yang memutar belit kenyataan Hadi.
"Tak habis-habis hendak fitnah kepada PAS," katanya.
"Kalau benci jangan melampau sangat. Kalau marah jangan hilang rasional."
Perkembangan terkini melibatkan 1MDB susulan tuduhan korupsi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat minggu lalu dijangka tidak memberikan kesan politik terhadap kedudukan Datuk Seri Najib Razak, menurut beberapa penganalisis dipetik Bloomberg.
Malah, beberapa hari selepas pengumuman Peguam Negara AS mahu menyita aset berkait 1MDB, perdana menteri meneruskan tugasnya seperti hari-hari biasa.
Beliau dilihat bersalaman dengan penjawat awam, mempengerusikan mesyuarat pembangunan ekonomi, dan hadir melancarkan kereta baharu keluaran syarikat Perodua.
"Mesejnya jelas. Perdana menteri menumpukan perhatian kepada isu dalam negara seperti ekonomi dalam mengekalkan sokongan terutama penduduk luar bandar Melayu terhadap UMNO," menurut pemerhatian akhbar perniagaan Bloomberg.
Menurut pakar ekonomi Vaninder Singh dari Royal Bank of Scotland Plc berpusat di Singapura.
"Pasaran jelas yang Najib selamat pada tahap ini dan tidak ada cabaran politik yang terlalu besar terhadapnya," katanya
Vaninder berkata sekiranya UMNO memenangi pilihan raya umum akan datang, saki baki kesan 1MDB dijangka terhapus terus.-25/7/2016
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
No comments:
Post a Comment