Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh negara bagi meninjau pendapat sama ada Lim Guan Eng patut bercuti atau meletakkan jawatan selaku ketua menteri Pulau Pinang susulan proses pendakwaan yang didepani pada masa ini.
"Saya akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk mendengar pandangan sama ada Guan Eng perlu meletak jawatan atau atau mengambil cuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Atau (jika beliau) kekal dalam jawatannya dan tidak tunduk kepada kuasa yang bermaharajalela dan tekanan dalam pertempuran terbaru ini," ujar Kit Siang dalam kenyataan, hari ini.
Walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan DAP Pulau Pinang telah membuat keputusan bahawa Guan tidak perlu meletakkan jawatan, beliau masih mahu mendengar pandangan luar, ujar Kit Siang.
Dalam pada itu, Kit Siang menambah, jika Datuk Seri Najib Razak diberi layanan yang sama oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), perdana menteri itu akan disoal selama 16.4 tahun membabitkan dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion yang diterimanya.
"Ini kerana dakwaan skandal 'derma' RM4.2 bilion melibatkan Najib itu adalah 1,500 kali lebih besar daripada dakwaan bango RM2.8 juta ke atas Guan Eng.
"Dan jika Najib diberi layanan yang sama oleh SPRM seperti Guan Eng dengan beliau telah disoalsiasat selama kira-kira 30 jam untuk empat hari, Najib pula perlu disoal siasat selama 6,000 hari.
"Bayangkan Najib keluar masuk pejabat SPRM untuk disoal siasat selama 16 tahun dan 4 bulan, dari bangun tidur waktu pagi sehingga tidur pada waktu malam dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi," tambahnya.
Terdahulu, MCA mengingatkan Guan Eng bahawa rakyat sedang memerhati sama ada beliau cakap serupa bikin dengan bercuti sementara menunggu kes pendakwaan rasuah terhadapnya selesai.
"Sebelum ini, dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti.
"Sekarang giliran kamu, rakyat akan lihat apa dia mahu buat," kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Perkara yang sama turut disuarakan oleh Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang berkata, keputusan DAP supaya Guan Eng tidak melepaskan jawatan menunjukkan pendirian parti itu yang mementingkan jawatan semata-mata.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional (BN), sekiranya seseorang pemimpin yang memegang jawatan apabila didakwa di mahkamah, mereka akan bercuti sementara atau berhenti.
"Tetapi berbeza pula dengan DAP di mana mereka ingin kekalkan jawatan mereka. Apabila DAP ambil keputusan supaya Guan Eng tidak melepaskan jawatan, rakyat boleh menilai antara pendirian DAP dan BN," katanya.
No comments:
Post a Comment