Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
TV3 bakal memperkenalkan sebuah rancangan realiti nyanyian eksklusif penuh kelainan di mana menampilkan tiga komposer hebat tanah air yang mewakili tiga genre, Rock, Balada dan Irama Malaysia, demi mencari Satu Juara bagi setiap genre. Tiga genre yang dipertandingkan ini bakal diwakili oleh komposer-komposer terkenal seperti Edrie Hashim untuk Rock, Ajai untuk Balada dan Pak Ngah untuk Irama Malaysia.
Tujuan utama rancangan ini diperkenalkan adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis genre-genre yang dipertandingkan serta mengangkat martabat genre-genre kegemaran rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Enam peserta akan berentap antara mereka daripada setiap genre sehingga ke peringkat akhir demi meraih gelaran juara genre masing-masing.
Hadiah wang tunai lebih RM 300, 000 menjadi rebutan kesemua 18 peserta 3 Juara selain membawa pulang pengalaman berharga menuntut ilmu dengan komposer-komposer tanah air yang tidak mampu diperolehi dimana-mana.
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Puan Zurina Othman,
"Kami teruja untuk memperkenalkan rancangan realiti 3 Juara ini kerana ia mampu menarik perhatian penggemar muzik tanah air dimana formatnya berbeza dengan rancangan-rancangan realiti nyanyian yang lain. Jika dibandingkan dengan lambakan rancangan realiti, 3 Juara ini lebih fokus mendidik peserta kearah kecenderungan keserasian vokal dan bakat kepada sesuatu genre terlebih dahulu,
Ini amat penting kerana dari sinilah akan lahirnya pelapis atau bakal pengganti Amy Search, Dato Siti Nurhaliza, dan Noraniza Idris dimana setiap mereka ini terkenal dan menjadi legenda dengan genre muzik mereka masing-masing. Kami yakin bahawa program 3 Juara ini mampu mencipta fenomena tersendiri dan bakal mengemparkan industri muzik tanah air."
Dalam sebuah Sesi Taklimat Media yang telah berlangsung di Bilik Bunga Dahlia, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam, ketiga-tiga orang komposer telah menyuarakan kriteria khusus yang dicari daripada para peserta uji bakat kelak.
Menurut Pak Ngah, Komposer yang mewakili genre Irama Malaysia pula, "Untuk menyanyikan lagu berirama tradisional ini memerlukan teknik vokal yang mantap dan kawalan yang baik. Biarpun ia irama zapin, dondang sayang, atau ghazal, setiap varian Irama Malaysia itu memerlukan teknik yang berbeza. Oleh itu, saya menggalakkan para peserta uji bakat untuk menyanyikan lagu Irama Tradisional atau etnik negeri masing-masing dalam sesi uji bakat nanti, kerana ia merupakan markah tambahan untuk mereka yang menguasai irama etnik mereka. Jika ada peserta uji bakat yang ingin membawa instrumen muzik tradisional sendiri juga dialukan, tetapi hendaklah menyanyi dalam Bahasa Melayu."
Menurut Ajai, Komposer yang mewakili genre Balada, "Saya mencari penyanyi-penyanyi balada yang mempunyai vocal range yang luas. Ini bermakna peserta uji bakat yang saya cari adalah mereka yang mampu menyanyi dengan nada rendah serta naik ke nada tinggi dengan kawalan vokal yang baik. Saya mahukan mereka yang sudah ada 50% ilmu nyanyian di mana 50% lagi akan saya tambah dengan ilmu yang mereka tidak tahu lagi."
Ulasan Edrie Hashim, selaku Komposer genre Rock pula, "Genre Rock ini hendaklah datang dari hati atau passion dan tidak dibuat-buat. Kebanyakan anak-anak muda kita yang ingin membawa lagu bergenre Rock yang boleh kita lihat di media sosial, mereka mengada-adakan personaliti Rock itu dan tidak secara semula jadi. Tambahan pula, kebanyakan anak muda kita sering beranggapan bahawa berambut panjang dan memakai pakaian hitam adalah Rock, tetapi jiwa suara mereka bernada balada. Oleh itu, saya mahukan peserta uji bakat yang hadir kelak hendaklah memilih genre yang mereka betul-betul mahukan dan bukan sekadar untuk mencuba-cuba sahaja."
Program realiti 3 Juara ini akan dikemudi oleh Produser Eksekutif En. Muhamad Sufian Che Isa. Kru produksi serta Ajai, Pak Ngah, dan Edrie akan menjelajah ke beberapa buah negeri di seluruh Malaysia sepanjang sesi uji bakat 3 Juara. Berikut adalah lokasi-lokasi uji bakat 3 Juara:
TARIKH NEGERI LOKASI WAKTU
TARIKH NEGERI LOKASI WAKTU 27 – 28 August Pulau Pinang The Light Hotel, Seberang Jaya 9am – 4 pm 3 – 4 Sept Johor Grand Blue Wave Hotel, Johor Bahru 9am – 4 pm 10 – 11 Sept Sabah Hotel Promenade, Kota Kinabalu 9am – 4 pm 17 – 18 Sept Sarawak Merdeka Palace, Kuching 9am – 4 pm 24 – 25 Sept Kuala Lumpur Seri Pacific Hotel 9am – 4 pmKepada yang berbakat dan bercita-cita besar untuk menonjolkan bakat mereka, terdapat beberapa syarat kelayakan yang hendaklah dipatuhi. Para peserta uji bakat hendaklah berbakat, berperawakan menarik dan berwarganegara Malaysia yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 28 tahun. Penyertaan hendaklah secara solo sahaja dan mereka hendaklah membawa gambar berukuran passport serta cakera padat (CD) minus one sendiri. Pilihan lagu adalah bebas mengikut genre pilihan masing-masing.
Yang manakah genre kegemaran anda? Para peminat muzik dijemput hadir menyaksikan rancangan realiti 3 Juara secara langsung setiap hari Ahad pada jam 9 malam bermula 16 Oktober 2016 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.
Related
Komen via FacebookKomen
No comments:
Post a Comment