Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
ULASAN Budi bahasa budaya kita merupakan satu slogan kebanggaan negara kita. Budi bahasa ialah norma kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan santun perkataannya dan indah pertuturannya. Pada hari ini, masyarakat Malaysia masih lagi terkenal dengan tinggi pekertinya, dan mulia sifatnya.
Denyut nadi kempen budi bahasa budaya kita yang bermula pada 11 Februari 2005, kemudian diberi penjenamaan semula lima tahun selepas itu dengan nama Budi Bahasa dan Nilai-nilai murni, kini boleh dikatakan sedang dalam kritikal semula selepas 11 tahun usianya.
Melihat kepada keadaan yang berlaku pada hari ini, kita kembali semula kepada persoalan, adakah budi bahasa bukan lagi budaya kita?
Objektif utama budi bahasa budaya kita adalah untuk melahirkan warganegara yang bersopan santun dan mempunyai ramah mesra dalam kalangan masyarakat. Bermula daripada barisan hadapan kerajaan hinggalah kepada segenap lapisan masyarakat.
Barisan hadapan kerajaan adalah fokus utama dalam kempen ini. Layanan yang diberikan oleh pegawai kerajaan terutamanya mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan, merupakan cerminan utama keberkesanan kempen kerajaan ini.
Malaysia boleh berbangga dengan barisan hadapan kerajaan misalnya bermula dari pramugari penerbangan Malaysia yang tidak lokek dengan senyuman dan sopan santun ketika melayan mereka yang baru dalam perjalanan ke Malaysia.
Tiba di Malaysia, teksi yang menyapa pelancong untuk menawarkan khidmat ke serata tempat di negara indah ini tidak pernah lekang senyumannya dari bibir. Pelancong tiba ke "homestay" keluarga yang penuh sopan melayan kerenah orang luar negara dengan senyuman manis tidak lekang di bibir.
Di serata Malaysia, ramah mesra yang diterima menjadikan pelancong luar negara merasakan Malaysia ini seolah-olah semuanya bersaudara. Sayangnya, coretan ini hanyalah angan semata-mata.
Barisan harapan kerajaan
Barisan hadapan kerajaan kini, merupakan mereka yang paling selalu dikritik kerana kurangnya santun dalam berbicara dan tiada senyuman mesra dari bibir mereka. Walaupun bukan semua, tetapi segelintir yang membuat angkara ini telah merosakkan imej kerajaan yang sememangnya mengamalkan dasar mesra pelanggan.
Pembaharuan perlu dibuat, aduan dan teguran yang diterima oleh mereka yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan haruslah diambil secara serius bagi memastikan nama baik perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan masih lagi menjadi pilihan utama mereka yang telah memberikan kepercayaan melalui undian.
Selain itu, budi bahasa juga dilihat semakin tidak menjadi budaya dalam masyarakat khususnya dalam media sosial. Pada hari ini, tohmahan, fitnah, kata-kata kesat diguna secara meluas tanpa segan silu. Kepesatan perkembangan teknologi telah menjadikan kita hilang budi bahasa yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Di media sosial, setiap orang langsung tidak hiraukan pendapat dan perasaan orang lain apabila hendak mengatakan sesuatu perkara. Gelaran-gelaran yang diberikan terhadap orang lain sangat memalukan untuk ditulis di ruangan ini. Yang paling tidak sopan dan paling kerap digunakan ialah perkataan 'macai' yang bererti pencacai (pengangkut najis).
Gelaran ini diberikan kepada mereka yang terlalu taksub dengan pendirian seseorang individu mahupun parti politik. Tidak adakah bahasa yang lebih sopan untuk kita menulis di ruangan komen yang boleh dilihat oleh orang awam?
Bahasa yang digunakan hanyalah salah satu daripada kesalahannya. Di media sosial juga, fitnah dan tuduhan disebarkan secara meluas tanpa usul periksa. Lihat sahaja kes terbaru penyebaran berita yang mendakwa seorang pemain bola sepak dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Salah guna media sosial
Perkara ini menjejaskan karier seseorang dan boleh membuat masyarakat tersalah sangka. Banyak lagi yang rata-rata masyarakat Malaysia tahu kesan penyalahgunaan media sosial ini yang telah menghakis nilai murni dalam kalangan kita.
Saranan agar penguatkuasaan undang-undang siber dikemaskini sememangnya satu langkah bijak, tetapi yang paling penting ialah penyuburan semula budi bahasa dan nilai murni dalam rakyat Malaysia secara lahiriah dan batiniah. Secara umumnya, persoalan budi bahasa bukan lagi budaya kita muncul kerana beberapa faktor di Malaysia. Pertama, kurangnya ramah mesra dalam kalangan mereka yang menawarkan perkhidmatan iaitu antara organisasi dan pelanggan. Pelanggan yang tidak mesra hari ini, besar kemungkinan adalah kerana kebanyakannya ialah warga asing yang tidak peka dengan amalan budi bahasa budaya kita.
Bukan itu sahaja, budi bahasa juga dikatakan semakin tidak wujud berdasarkan sikap pemandu Malaysia di jalan raya, sampah sarap yang dibuang merata-rata dan juga kemudahan awam yang dirosakkan dengan sengaja. Ini ditambah lagi dengan sikap perokok tegar yang merokok di kawasan larangan merokok dan juga sikap tidak bertolak ansur ketika menggunakan perkhidmatan awam.
Mungkin ada segelintir yang tidak setuju dengan contoh-contoh yang diberikan, tetapi tidak dapat dinafikan pada hari ini, kebaikan yang sedikit seperti memberi tempat duduk kepada wanita mengandung dan membantu orang buta melintas dianggap sebagai hero kerana ia sudah terlalu jarang dilihat walhal ia adalah asas dalam hidup bermasyarakat.
Menyedari masalah ini, beberapa pendekatan harus diambil. Langkah pertama haruslah bermula dengan diri sendiri, di mana masyarakat Malaysia harus ada simpati dan empati sesama kita untuk kembali menyuburkan budi bahasa dalam jiwa masyarakat Malaysia.
Pembentukan jati diri
Seterusnya, kita haruslah mendidik generasi muda untuk bersopan santun dan hidup dengan nilai murni. Pendidikan dari rumah, hinggalah sekolah haruslah menekankan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan jati diri.
Setiap institusi harus mempunyai usaha untuk mengekalkan nilai murni dan sifat berbudi bahasa ini akan kekal menjadi budaya kita. Langkah yang paling berkesan ialah, kerajaan, melalui pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh masyarakat kita pada hari ini haruslah menjadi contoh ikutan.
Pemimpin yang berbudi bahasa, ramah dan mesra sepanjang masa bukan hanya ketika pilihan raya haruslah menjadi contoh tauladan. Jika pemimpin sibuk dengan bergaduh dan menuduh menggunakan bahasa yang kurang enak didengar, maka itulah yang akan menjadi ikutan pengikutnya.
Kepimpinan melalui tauladan akan menjadikan kempen yang 11 tahun usia ini kembali bernafas seperti sediakala.
Sehingga ke hari ini, budi bahasa masih lagi wujud dalam budaya rakyat Malaysia tetapi sifatnya sedikit demi sedikit sedang dihakis. Menjunjung prinsip kelima Rukunegara kesopanan dan kesusilaan, maka marilah kita kembalikan semua kemegahan kita yang menjunjung tinggi prinsip budi bahasa budaya kita.
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa
ISHAK SAIROZI adalah eksekutif Yayasan 1Malaysia.
No comments:
Post a Comment