Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Meskipun berasa kecewa, Adibah Noor beranggapan biarlah jalan cerita filem lakonannya Fundamentally Happy yang gagal melepasi kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) kekal menjadi rahsia.
Kata pengacara, penyanyi dan pelakon itu, jika ada sesiapa ingin menonton filem berkenaan mereka boleh berbuat demikian tetapi di luar negara.
"Biarlah saya terus berahsia mengenai kisah difilemkan itu. Jika ia tidak akan ditayangkan di sini, jadi buat apa nak diceritakan?
"Saya mahu jadi kedekut bab itu, sekiranya hendak tengok apa yang ada dalam Fundamentally Happy anda boleh pergi ke Singapura," katanya kepada Malaysiakini.
Adibah, 46, ditemui pada Konsert Adibah Noor Into The 3rd Decade di Kuala Lumpur malam semalam. Untuk konsert itu, Adibah menyampaikan lagu yang dipilih dari album pertama hingga ketiga sejak dirinya bergelar penyanyi. Persembahan itu berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini di KL Pac.
Menurut Adibah, walaupun Fundamentally Happy tidak akan dipertontonkan secara komersial di Singapura, ia masih mempunyai harapan untuk ditayangkan di institusi pendidikan dan festival filem.
Secara ringkas, Adibah menjelaskan Fundamentally Happy filem yang mengimbau sejarah silam, kemaafan, sesalan dan langkah untuk meneruskan kehidupan pelbagai konflik.
Bagaimanapun, susulan cerita yang berlegar tentang kewujudan karakter lelaki Melayu, kanak-kanak Cina dan wanita bertudung labuh serta isu pedofilia dianggap LPF kurang sesuai untuk filem arahan Tan Bee Thiam dan Lei Yuan Bin ditayangkan di pawagam negara ini.
Ditanya mengenai kegagalan mendapat kelulusan tayangan LPF, Adibah berkata ia terpaksa menerima kenyataan bahawa segelintir orang Melayu di negara ini bersifat "cepat sentap."
Katanya, dalam memberikan rasional mengapa LPF tidak memberikan kelulusan kepada filem itu Adibah berkata mereka memberikan alasan "Melayu tersinggung" sebanyak lima kali berbanding dua kali saja menyentuh isu agama.
Menurut Adibah Fundamentally Happy tidak memfokuskan isu Melayu dan agama seperti dianggap LPF.
Dan Adibah tidak menolak kemungkinan sentimen cepat tersentap itu mendorong LPF cenderung menolak filem terbitan 13 Little Pictures itu.
"Saya cuba memahami rasional LPF dan alasan tindakan berkenaan diambil dengan seikhlasnya kerana beranggapan mereka tidak mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu.
"Yalah, orang Melayu terlalu sensitif sedangkan filem seperti Ola Bola dan Lelaki Harapan Dunia juga turut dipertikaikan. Mengapa begitu?" soalnya.
No comments:
Post a Comment