Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Sebuah lagi stesen radio swasta dengan siaran dalam bahasa Inggeris dan Cina untuk memenuhi pendengar di Malaysia Timur dilancarkan di Sarawak.
Dikenali sebagai Tea FM, ia merupakan usahasama antara Kumpulan KTS, syarikat media, perladangan sawit dan balak, syarikat perdagangan am dan Kumpulan Ancom.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem merasmikan stesen radio itu yang mengadakan siaran dalam bahasa Cina dari 6 pagi hingga 7 malam, dalam bahasa Inggeris dari 7 malam hingga 12 tengah malam dan muzik sepanjang malam mulai 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Adenan berkata radio masih relevan walaupun kemunculan televisyen dan internet dan kewujudan beberapa syarikat penyiaran terutama di Kuala Lumpur.
"Masyarakat masih ingin mengetahui mengenai peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka dan di dunia dalam masa nyata.
"Di Sarawak, radio masih menjadi saluran utama komunikasi dan mempunyai ramai pendengar,"katanya.
Beliau juga menyifatkan Tea FM sebagai satu lagi usaha untuk mempromosi dan mempopularkan penggunaan bahasa Inggeris.
"Masih ada pasaran khusus dalam bahasa Inggeris," katanya.
Sementara itu, Adenan berkata penyiar radio tidak harus menyalahgunakan kebebasan bersuara yang dinikmati sekarang.
Beliau berkata walaupun kerajaan berlembut namun ia akan mengambil tindakan jika kebebasan itu didapati telah disalahguna.
Tea FM boleh didengar di frekuensi 102.7 fm di Kuching dan 102.8 fm di Kota Kinabalu dan stesen itu terletak di Crown Towers, Jalan Pending.
- Bernama
No comments:
Post a Comment