Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat tidak adil untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan kesalahan terhadap kepimpinan terdahulu dalam soal kenaikan kadar tambang pengangkutan awam seperti Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang diumumkan baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kerajaan hakikatnya mampu mengawal harga pengangkutan awam di negara ini.
"ERL ini isu sekarang, bukan soal pemimpin terdahulu. Perkara ini diluluskan oleh Kabinet maka kerajaan mampu kawal naik harga atau tidak.
"Rakyat akan melihat kenaikan ini berlaku pada pemerintahan Datuk Seri Najib kerana ia berlaku sekarang. Kalau harga naik turun, barang naik pun berlaku zaman sekarang. Orang akan melihat zaman dia juga," katanya kepada Sinar Online.
Najib dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno berkata, masalah perjanjian konsesi yang disifatkan berat sebelah itu hanya legasi yang diterima daripada pemerintah sebelum ini.
ERL mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 kepada RM55 bagi tiket sehala KL Sentral ke KLIA/klia2 berkuatkuasa 1 Jan tahun depan menerima pelbagai reaksi kurang senang daripada rakyat,
Menurut Azizuddin, beliau bimbang kenaikan demi kenaikan kadar tambang akan menyebabkan rakyat kembali menggunakan kenderaan sendiri hingga mengundang kesesakan di bandar.
"Projek ini asalnya memang untuk kebaikan rakyat dan perancangan dasar itu pula memang daripada pemimpin dahulu tapi kerajaan ada kuasa tentukan kadar harga yang relevan.
"Jadi, nak salahkan keseluruhannya kepada kepimpinan sebelum ini, tidak adil bagi pandangan saya. Sebab keputusan (kenaikan) itu dibuat sekarang," katanya.
Sementara, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, meskipun tidak dapat dinafikan masalah itu memang diwarisi daripada pemerintahan terdahulu, namun Najib juga perlu sedar bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk menyelesaikan perkara itu.
"Kita tidak nafikan bahawa Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) juga bukan pemimpin yang sempurna. Beliau juga banyak lakukan kesilapan dan kesalahan dari segi politik, ekonomi juga beberapa dasar lain termasuk berkaitan sistem pengangkutan negara.
"Jadi, beban daripada masalah itu tidak dapat dinafikan memang diwarisi pemimpin kemudian tetapi pada waktu yang sama, menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin yang mengambil alih kuasa itu untuk selesaikan masalah yang ada…yang diwarisi itu," katanya.
Katanya lagi, perkara sama akan berlaku apabila zaman pemerintahan Najib berlalu, pemerintahan akan mengambil alih kepimpinan itu bakal 'membersihkan' segala masalah yang wujud ketika ini.
"Jadi, setiap kepimpinan itu ada masalah, ada isu, ada skandalnya. Dalam konteks Malaysia ini, setiap pemimpin, setiap zaman ada skandal kecil dan besar. Lebih-lebih lagi melibatkan skandal kewangan. Skandal ini tidak harus diletakkan atas bahu rakyat untuk memikulnya.
"Jadi, sedaya upaya, menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin yang memerintah untuk memastikan bahawa rakyat terus tidak terbeban dari segi ekonomi, kos sara hidup kerana itu merupakan salah satu faktor utama yang akan menentukan hidup matinya seorang pemimpin dan kepimpinan itu," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kenyataan Najib yang seolah-olah menuding jari kepada Tun Mahathir itu mungkin sedikit sebanyak dapat meredakan kemarahan rakyat dan membuatkan rakyat berfikir.
"Rakyat akan fikir, 'betul juga. Najib hanya mewarisi masalah itu dari pemimpin terdahulu dan tidak adil menyalahkan beliau'. Tapi harus diingat pada masa sama, ada pelbagai isu lain yang membelenggu beliau sebagai perdana menteri sehingga rating populariti beliau terjejas teruk di mata rakyat.
"Apa pun, beliau perlu terus berusaha tangani masalah yang ada sekarang tapi saya fikir, untuk adil kepada beliau, beliau telah mengumumkan beberapa langkah dengan memberikan diskaun kepada golongan sasar tertentu. Ini merupakan satu tindakan bijak memperlihatkan beliau seolah-olah prihatin dan mendengar rungutan rakyat di peringkat akar umbi," katanya.
Berita berkaitan:Bayi terselamat dalam kemalangan empat kenderaan
Sindiket Hasilkan Dokumen Palsu Tumpas
Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil
Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter mulai esok
Komencomments
No comments:
Post a Comment