Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini bahawa dia melihat seorang wanita melontar belon kuning dari aras lima dalam sebuah kompleks beli belah pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri.
Konstabel Polis Bantuan di Pavillion, Irmalinda Zaimardy, 27, berkata ketika bertugas untuk menjaga keselamatan di tingkat dua bangunan berkenaan, beliau nampak tiga belon kuning dilontar oleh wanita itu.
Saksi pertama pendakwaan itu berkata beliau kemudiannya diarahkan untuk memeriksa aras lima bangunan berkenaan dan ketika menaiki tangga bergerak ke aras lima, beliau turut melihat empat lagi belon yang tertera perkataan "Democracy", "Free media" dan "Justice" dilontarkan oleh wanita yang sama, dan jatuh di belakang skrin berhadapan tempat duduk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
"Pada mulanya, tiga belon jatuh dan kemudian empat lagi belon jatuh di belakang skrin tersebut dan jarak belon itu hanya lebih kurang 10 kaki (tiga meter) dari tempat saya berdiri," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Norakmal Farhan Aziz.
Irmalinda berkata apabila sampai di aras lima, beliau melihat seorang wanita sedang meniup belon berwarna kuning yang tertera perkataan "Democracy" sambil memegang satu plastik lut sinar yang mengandungi satu lagi belon yang tertera perkataan "Free Media" yang belum ditiup.
"Saya kemudiannya menahan wanita itu dan terus membawanya ke bilik gerakan polis bantuan di kompleks beli belah berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya pada hari pertama perbicaraan kes penari Bilqis Hijjas, 37, semalam yang didakwa berkelakuan menghina dengan melepaskan belon kuning pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri.
Ketika ditanya Norakmal sama ada beliau melihat wajah wanita tersebut, Irmalinda berkata beliau tidak melihat dengan jelas tetapi hanya melihat lengan baju merah jambu wanita berkenaan.
Bilqis yang juga anak perempuan arkitek terkenal tanah air, Hijjas Kasturi, yang diwakili peguam Michelle Yesudas, kelihatan tenang di kandang tertuduh.
Bilqis didakwa berkelakuan dengan cara menghina bertujuan membangkitkan kemarahan sehingga keamanan mungkin terganggu di pusat beli-belah, di aras 5, Pavilion, Jalan Bukit Bintang, pada 3.15 petang, 31 Ogos tahun lepas.
Bilqis, yang juga dikenali sebagai 'Gadis Belon' selepas insiden itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Pada Hari Kebangsaan 31 Ogos tahun lepas, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli belah itu sewaktu Najib dan Rosmah menonton persembahan tarian pembukaan acara "DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur."
Perbicaraan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail bersambung pada 18 April depan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment