Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, dalam hal Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan telah memberikan respons yang ekstensif kepada pendapat yang diterima oleh Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan secara Arbitrari (WGAD).
"Kerajaan tetap menegaskan bahawa berasaskan fakta yang tidak boleh dipertikaikan dan asas undang-undang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan banduan politik dan telah disabitkan kesalahan selepas perbicaraan adil dan panjang," kata kenyataan itu hari Sabtu.
Al Hussein dalam pembentangan Laporan Tahunannya di bawah Agenda Item 2: Dialog Interaktif dengan Pesuruhanjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia pada Sesi Biasa ke 31 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 10 Mac telah mengulas mengenai situasi hak asasi manusia di Malaysia, dengan rujukan kepada penghadan ruang demokrasi di Malaysia dan bekas ketua pembangkang Anwar.
Menyatakan kesal terhadap komen itu, kementerian itu berkata kemajuan dan usaha menyeluruh kerajaan dalam menjamin kenikmatan hak asasi manusia di Malaysia adalah ekoran komiten tegas kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
Ia menyatakan, kerajaan telah dan akan terus menyediakan ruang demokrasi yang perlu untuk rakyatnya.
Kerajaan juga mempunyai kewajipan untuk menentukan keamanan, kestabilan dan harmoni dalam negara yang menjadi pra-syarat bagi menikmati sepenuhnya hak tersebut.
"Malaysia menganggap penting usaha-usaha Majlis Hak Asasi Manusia sebagai badan antara kerajaan yang dipandu oleh prinsip kesejagatan, kesaksamaan, objektiviti, tanpa bersikap memilih.
"Oleh itu, kerajaan Malaysia berharap majlis itu bersikap seimbang dalam menilai situasi hak asasi manusia di semua negara anggota.
Kenyataan itu menegaskan bahawa Malaysia menghargai dialog membina dan penglibatan aktif yang menjadi asas Majlis Hak Asasi Manusia PBB.-13/3/2016
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
No comments:
Post a Comment