Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Ada pihak mengkritik melayu yang meniru budaya Arab termasuk menggunakan istilah-istilah seperti iftar, 'idil fitr dan lain-lain. Ya, kita pun akui bahawa Islam pun tidak memerintahkan kita mengamalkan budaya atas dasar kearaban Arab. Islam itu bukan agama perkauman Arab.
Namun perlu disedari bahawa sebahagian perkataan arab itu telah menjadi istilah yang dipakai dalam keilmuan Islam termasuk iftar, haji, masjid, sujud, rukuk dan seumpamanya. Tiada salahnya kita menggunakan istilah-istilah ini seperti mana banyak istilah Inggeris kita guna dalam bidang yang lain. Bahkan banyak istilah Arab itu lebih mendekati maksud syarak dalam kerangka istilah ilmu.
Lebih daripada itu, al-Quran berbahasa Arab yang tidak boleh ditukar ganti dengan bahasa lain. Apa yang boleh, sekadar terjemahan maksud ayat-ayat al-Quran bagi yang gagal memahami teks Arabnya yang asal. Namun bacaan al-Quran kekal dalam bahasa Arab. Al-Quran bahasa Arab dan Nabi kita Muhammad s.a.w juga berbahasa Arab.
Islam tidak memaksa kita memakai jubah ataupun mensyaratkan muslim mesti memakai jubah. Tapi, tiada salah ataupun ganjil seseorang melayu memakai jubah. Apatah lagi di peringkat dunia, jubah telah sekian lama menjelma sebagai pakaian sarjana. Itu sebabnya, hasil dari tamadun ilmu yang umat Islam kembangkan di zaman kegemilangannya, sehingga hari ini, jubah telah menjadi pakaian graduan di seluruh dunia pada hari mereka menerima ijazah.
Tidak mengapa untuk kita menyatakan tidak setuju ikut budaya Arab sebab kita Melayu. Namun, yang ganjilnya, jika kita tidak pernah pula mengkritik budaya Barat sehingga ia menjadi ikutan bukan sahaja dalam pakaian bahkan tingkah laku kita dalam semua perkara, baik dan buruk. Ada orang Melayu yang sudah tiada melayu lagi sekalipun pada upacara 'kemelayuan'. Hari diangkat menjadi 'ketua melayu' pun tiada pakaian melayu dan cara melayu. Budaya dan pakaian begitu Barat sekali. Tidak pula kita nilai dengan kritis. Tiada salahnya untuk kita kritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti baik kita, tapi dengan sikap adil untuk setiap budaya bukan dengan mentaliti yang double-standard.
Islam tidak menyuruh melayu menjadi Arab. Tidak pula supaya melayu menjadi Barat. Apa yang disuruh adalah seperti Surah al-Hujurat iaitu 'kenal-mengenal antara satu sama lain'. Sudah pasti antara tujuannya untuk mengambil manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik. Isunya bukan Arab ataupun Barat, tapi menilai antara yang positif dan negatif.
No comments:
Post a Comment