Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali memberi jaminan bahawa pengguna air di Selangor dan Lembah Klang tidak akan berhadapan masalah kekurangan bekalan air ketika paras air di empangan semakin menunjukkan penurunan setiap hari.
Anggota Parlimen Gombak itu berkata ini kerana kerajaan negeri sentiasa memantau rapi setiap pengeluaran air di empangan dan sungai Selangor selain langkah proaktif yang lain.
"Semasa mesyuarat MTES sebelum ini isu air adalah salah satu daripada perkara yang kita dibincangkan dan kami memantau dengan rapi semua pengeluaran air di empangan dan sungai di selangor," katanya.
Beliau berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah proaktif serta pembenihan awan yang telah jalankan bagi beberapa bulan lepas.
"Jika ada keperluan untuk menambah bilangan penerbangan untuk pembenihan awan, kami akan berbuat demikian," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu kepada pemberita.
Azmin berkata demikian selepas majlis anugerah perkhidmatan cemerlang 2015 Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di Ampang malam tadi.
Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago sebelum ini dilapor sebagai berkata pengguna air di Selangor dan Lembah Klang bakal berhadapan masalah kekurangan bekalan air.
Charles berkata, Empangan Sungai Selangor menunjukkan penurunan 0.62 peratus manakala Empangan Semenyih 0.47 peratus dan penurunan itu berlaku setiap hari.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri khususnya Azmin perlu bertindak cepat sebelum Lembah Klang berhadapan krisis air.
Empangan Sungai Selangor membekalkan lebih 60 peratus bekalan air mentah kepada penduduk di Selangor dan Lembah Klang.
Sementara itu, dalam perkembangan lain timbalan presiden PKR itu berkata masalah harian rakyat di Selangor seperti jalan berlubang kini boleh diselesaikan secara pintar dengan menggunakan aplikasi Waze.
"Beberapa hari lalu saya telah berbincang dengan pihak Waze yang telah bersetuju untuk memberikan khidmat mereka kepada kerajaan Selangor.
"Di dalam masa terdekat ini pengguna jalan raya yang terjumpa lubang boleh kongsikan dalam aplikasi waze dan akan dikesan dalam dashboard PBT dan dalam masa tertentu atau tidak kurang dalam 72 jam PBT dapat mengesan dengan tepat menggunakan koordinat masalah rakyat ini dapat diselesaikan dengan pantas," tambah Azmin.
Penggunaan aplikasi Waze ini meliputi enam pihak berkuasa tempatan (PBT) utama termasuk MPAJ, MBPJ, MPKJ, MPK, MBSA dan MPSJ.
No comments:
Post a Comment