Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
PUTRAJAYA 24 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaksanakan pusingan kerja terhadap sebilangan pegawai imigresen di pintu-pintu masuk negara selain akan melakukan proses pertukaran pegawai berikutan kelemahan-kelemahan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikesan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, siasatan awal terhadap MyIMMs mendapati faktor manusia di Jabatan Imigresen merupakan antara faktor kelemahan sistem berkenaan selain daripada kelemahan perisian sistem itu.
Beliau berkata, pasukan petugas khas yang diketuai oleh beliau sendiri akan menyiasat sepenuhnya kelemahan-kelemahan pelaksanaan sistem MyIMMs dan sedang dalam proses mengumpul dokumen-dokumen berkaitan.
"Pasukan petugas khas akan membuat siasatan lanjut secara menyeluruh berkaitan kelemahan sistem yang ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Bersama Media Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN percaya wujud perbuatan sabotaj di peringkat dalaman melibatkan pelaksanaan MyIMMs, justeru itu, pemantauan sedang dilakukan supaya tindakan diambil ke atas semua yang terlibat.
Ahmad Zahid berkata, beberapa tindakan awal telah diambil dan bakal diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan wujudnya sindiket pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia di KLIA dan KLIA2 ekoran penahanan dua pega- wai imigresen bersama 17 individu lain di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, Sakib berkata, kewujudan penglibatan pihak luar yang mensabotaj MyIMMs menyebabkan sistem tersebut tergendala dan menghadapi masalah kecekapan.
Beliau berkata, faktor luaran tersebut termasuk penglibatan pihak vendor dan warga asing selain faktor dalaman membabitkan pegawai-pegawai jabatan itu sendiri.
"Pada masa ini, kita sedang meneruskan siasatan bagi menentukan siapa yang terlibat. Kita akan membuat pengumuman bersama pihak polis apabila tiba masanya.
"Pihak-pihak ini tidak dipanggil lagi, tetapi kita jalankan siasatan. Sudah tentu apabila kita menjalankan siasatan, kita terpaksa memanggil mereka untuk disoal dan sebagainya," katanya.
No comments:
Post a Comment