Recent Post

Thursday, June 09, 2016

Azhar bersedia sejak 36 tahun lepas untuk bertanding


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

Dua bulan lepas, Azhar Abdul Shukur baru sahaja dilantik sebagai ketua bahagian AMANAH Sungai Besar dan bersedia untuk berkhidmat kepada kampung kelahirannya terutama dalam masalah kongkongan maklumat.

Namun selepas dua bulan, beliau dipilih sebagai calon parti AMANAH untuk mewakili Pakatan Harapan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar.

Belisu berhadapan dengan dua orang pesaing yang hebat iaitu calon BN yang juga ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Berbanding dengan mereka, pengalaman Azhar sememangnya kurang dan beliau tidak terkenal dalam politik.

Walaupun segalanya datang secara agak mengejut, namun pada hakikatnya Azhar, 51, berkata beliau telah bersedia bertanding, malah persediaan itu telahpun dibuat sejak 36 tahun lepas.

"Untuk berpolitik, saya dah bersedia pada umur 15 tahun ketika masih belajar di sekolah menengah, masa itu saya sudah menyertai pembangkang," katanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini.

'Kritik kerajaan masa sekolah'

Mengimbas kembali masa persekolahannya, Azhar berkata beliau selalu 'lawan' guru, malah pernah ditangkap oleh guru kerana mengkritik kerajaan.

Akhirnya, bapanya selalu terpaksa datang ke sekolah untuk membawanya pulang.

"Saya bawa kawan saya pergi ke surau cerita tentang kerosakan kerajaan, jadi guru dengar dan tangkap saya, lalu bawa masuk pejabat, panggil ayah saya ambil saya balik," kata Azhar.

Namun, bapa Azhar sebenarnya merupakan penyokong BN dan pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Karang satu penggal dan ADUN Sungai Burong selama dua penggal.

Walaupun pandangan politik mereka berbeza, Azhar berkata bapanya tidak pernah menghalangnya, malah menyokongnya sepenuhnya dalam pilihanraya kali ini.

"Ayah saya tahu, saya sejak kecil lagi tidak bersama BN. Ada banyak perkara dia tak bersetuju dengan saya tapi dia tahu saya buat perkara baik," katanya.

Katanya, beliau menyertai pembangkang hanya kerana ingin memperbetulkan kerajaan. Bapa Azhar jugalah yang menjadi sebab dia kembali ke Sungai Besar sehingga timbulnya idea berkhidmat kepada kampungnya.

Azhar sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak, pernah belajar di tiga sekolah menengah di sekitar Sungai Besar sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti di Karachi, Pakistan dalam bidang agama.

Beliau pernah menjadi guru agama mengajar bahasa Arab di sekolah persendirian dan pernah bekerja di Kemboja dan menjalankan aktiviti kemanusiaan di rantau itu.

"Selepas itu saya balik ke Malaysia, ayah mula sakit tiga tahun lepas dan saya selalu balik ke sini untuk menziarahinya.

"Oleh kerana selalu balik ke sini, saya mula fikir saya perlu buat sesuatu untuk kampung saya termasuklah menubuhkan NGO.

"Saya mula beri bantuan kepada penduduk tapi saya hanya sempat buat dua program untuk bantu mereka dan kemudian berlaku pilihanraya.

"Saya melihat ini peluang saya untuk berkhidmat," katanya

Rakan ponteng untuk bertani

Sungai Besar merupakan kawasan semi-bandar dalam sektor perikanan dan pertanian. Rumah Azhar juga terletak berhampiran sawah padi tetapi keluarganya tidak menceburi bidang pertanian.

Namun, kawan-kawan sekolahnya pula perlu turun ke sawah padi sehingga kadangkala terpaksa ambil cuti sekolah dan ini membolehkan Azhar memaham keadaan susahnya anak petani.

"Saya masih ingat lagi dua orang kawan baik saya - Ismail dan Abdullah Sani - di Sekolah Menengah Sungai Besar selalu ambil cuti. Bila saya tanya dia tak beritahu saya.

"Tapi bila saya jumpa semula mereka beberapa tahun lepas, dia kata ustaz dulu masa sekolah kami bercuti sebab kami kena turun bendang cari duit.

"Masalah ini bukan sahaja dihadapi orang Melayu, masyarakat Cina juga menghadapi masalah yang sama," katanya.

Perjuang kebebasan media

Sikap keterbukaan ayahnya telah membolehkan Azhar mendapat pelajaran dan kehidupan yang lebih baik berbanding kawan-kawannya, malah telah menyedarkannya akan kepentingan kebebasan maklumat dan kebebasan media.

Beliau berpendapat penduduk di kawasan kampung Sungai Besar selalunya kurang mendapat maklumat, bukan sahaja mengenai isu negara, malah maklumat mengenai bantuan kerajaan Selangor juga tidak dapat disampaikan kepada penduduk kampung.

Pilihanraya kecil ini juga membuat beliau sedar bahawa banyak penduduk kampung masih tidak mengenali parti AMANAH. Maka beliau perlu meningkatkan usaha untuk mempromosi partinya itu.

Ditanya apakah isu pertama yang akan dibawa jika terpilih ke Parlimen, Azhar berkata beliau akan tanya kenapakah kebebasan media disekat.

"Kenapa berita-berita disekat, masalah ini besar kerana jika media tidak dikongkong, dia buat jahat orang akan tahu.

"Maklumat perlu sampai kepada penduduk. Orang yang susah kalau dia tak tahu dia susah, dia tak akan rasa dia susah dan kita kesian dia.

"Kamu susah sebab kamu tak tahu termasuklah isu 1MDB dan GST,' katanya.

Ditanya pandangannya tentang Hudud, Azhar berkata isu itu perlu terserah kepada persetujuan bersama dalam Pakatan Harapan.

'Saya mewakili AMANAH dan Pakatan Harapan. Setiap perkara kena dibincangkan dan saya eerah kepada Pakatan Harapan untuk menjawab soalan ini dan saya mematuhi segala keputusan,' katanya.

'Menguji kekuatan AMANAH'

Mengenai pertandingan tiga penjuru pula, Azhar tidak melihatnya sebagai menguntungkan BN, tetapi sebaliknya melihat saingan PAS dapat menguji kekuatan AMANAH.

"Kalau orang tak suka BN dia tetap tak sokong BN, sama seperti orang yang tak suka AMANAH tak akan undi kita.

"Kalau PAS tak bertanding, sesetengah orang mungkin tidak akan membuang undi dan kita tak tahu setakat mana pandangan dan undi masyarakat pada kita,' katanya.

Azhar kini merupakan seorang peniaga dan menceburi bidang pelancongan, butik, konsultasi dan 'production house'.

Alamat mengundi rumahnya kini masih di Termeloh, Pahang kerana beliau pernah menetap di sana seketika dahulu.

Hal ini menyebabkan beliau tidak dapat mengundi untuk dirinya dan Azhar berjanji akan menukar alamat ke Sungai Besar sebaik sahaja tamat pilihan raya kecil itu.

"Sebenarnya saya ada tiga rumah dan saya berulang-alik tiga tempat ini dalam beberapa tahun ini, iaitu Termeloh, Kuala Lumpur dan Sungai Besar.

"Walaupun saya tidak dapat mengundi, namun ahli keluarga dan saudara mara akan mengundi saya," katanya.




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *