Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Setelah lama bergerak melalui NGO, presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali memutuskan akan menyertai parti politik baru sebelum pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini dan sebuah lagi portal semalam, Ibrahim bagaimanapun enggan mendedahkan pilihannya buat masa ini.
"Buat masa ini, keadaan belum jelas lagi. Ertinya, dalam analogi yang mudah, keadaan sini dalam keadaan mendung, petir, awan yang gelap.
"Saya sedang memerhati, dan apabila ia jelas, barulah saya memutuskan suatu perkara yang jelas pasti saya akan sertai parti politik sebelum pilihan raya ke14," katanya di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur semalam.
Kebetulan ketika wawancara dibuat, di Putrajaya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sebuah parti baru yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sedang dibentuk.
Ibrahim, walaupun pernah berkempen bersama BN, dilihat mempunyai hubungan baik dengan Mahathir, yang beberapa kali hadir dan merasmikan acara PERKASA.
Perjalanan politik Ibrahim penuh warna-warni apabila pernah bersama Umno, menyertai serpihannya Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, malah menang menggunakan tiket PAS tetapi kemudian menjadi wakil bebas.
Oleh sebab itu, beliau digelar "katak" oleh musuh-musuh politiknya.
Ibrahim bagaimanapun mempertikai gelaran itu kerana ramai lagi pemimpin politik yang melompat parti.
Mengulas hasrat terbarunya itu, Ibrahim telah menerima pelawaan tetapi masih mempertimbangkannya.
"Saya akui sehingga kini ada parti politik yang datang kepada saya jemput sertai dan menawarkan jawatan kepada saya.
"Tetapi saya belum dapat menerima dan ia dalam pertimbangan saya," katanya yang turut enggan menamakan parti itu.
Ibrahim juga belum memutuskan sama ada beliau akan meninggalkan PERKASA atau tidak kerana ia bergantung kepada keadaan semasa.
Bagaimanapun, katanya, jika beliau tidak lagi memimpin kumpulan pendesak Melayu itu, beliau yakin ia akan berjalan seperti biasa.
"Saya tidak melihat PERKASA akan jatuh sekiranya saya tidak menjadi presiden, kerana PERKASA sudah stabil dan kita sudah mempunyai pemimpin pelapis di setiap peringkat.
"Saya nampak pemimpin muda PERKASA sudah mula berdikari, kerana kini suara PERKASA bukan lagi suara saya sahaja.
"PERKASA akan terus hidup dan saya ada keyakinan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment