Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
KUALA LUMPUR 24 Julai - Berkahwin ketika usianya 19 tahun, madu kepada penyanyi Adira mendedahkan dia sebenarnya sudah masak benar dengan perangai suaminya, Datuk Seri Adnan Abu (Datuk Red).
DATIN RED
Hanya mahu dikenali sebagai Datin Red atau Syarifah, wanita berusia 30 tahun ini tidak pernah ambil pusing tentang pendapat orang lain di luar sana tentang hal-hal yang negatif dikaitkan dengan suaminya.
Soal pokok bagi dirinya ialah, kehidupannya sebagai isteri pertama Datuk Red bahagia.
"Apa yang berlaku di luar sana biarlah suami saya sahaja selesaikan, dia yang mula cari masalah. Mengapa saya perlu pening kepala fikirkan masalah dia?
"Saya tidak tahu pasal orang luar mengecam atau marah dia, yang pasti hubungan saya dengan dia bahagia," katanya dalam nada cukup selamba.
Bercakap soal poligami, tidak salah untuk dikatakan bahawa Datin Red ini mempunyai hati sekeras batu.
Bukan apa, melihat air mukanya sedikit pun tidak tersentuh macam isteri lain, ini bukan kali pertama masalah berlaku dalam kehidupan rumah tangganya.
Selepas suaminya menikahi Adira, kali ini Datuk Red dengan jujur memberitahu tidak ada masalah untuk berkahwin kali ketiga.
"Entahlah, mahu kata hati ini seperti batu, batu juga boleh pecah. Cukuplah saya kata saya sudah lali, sebab masak benar dengan perangainya.
"Apa yang kuatkan saya adalah anak-anak, dan satu tip untuk hidup bersama suami saya ini. Jangan bebankan dia dengan masalah di rumah. Sebab itu sehari dua yang lalu, ketika satu Malaysia kecoh mengenai kisah Datuk Red dengan artis Ruhainies, bila dia pulang ke rumah sepatah pun saya tidak bertanya soalan yang sama," katanya jujur.
Bercakap mengenai detik perkenalan dengan Datuk Red, kata Syarifah pada mulanya dia hanya mengenali suaminya itu sebagai pemandu lori sayur.
"Saya berkahwin ketika berumur 19 tahun, memang selepas 10 tahun tiada apa yang saya dapat rasakan selain sayang kepada dirinya mungkin juga sebab anak-anak.
"Kami mula mengalami kehidupan yang lebih senang sejak tiga tahun yang lalu, apabila perniagaan suami semakin baik," katanya.
Hanya ketawa ketika diminta memberi tip buat wanita di luar sana yang dimadukan menjadi lebih tabah, Syarifah tidak menolak kuncinya adalah sabar dengan setiap ketentuan.
"Saya percaya kepada jodoh, selagi ada jodoh saya akan bersama dia. Soal bermadu, saya rasa mana-mana wanita juga sama. Macam mana hancurnya hati saya ketika dia berkahwin dengan Adira, mungkin Adira juga merasai perkara yang sama kini.
"Cumanya selagi dia suami, saya akan pastikan menjadi isteri yang baik buat dirinya," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment