Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan akhbar agar tidak menyiarkan gambar berhubung militan IS, terutamanya ahli dan anak-anak mereka berpakaian seragam serta membawa senjata.
Katanya, tindakan itu akan hanya akan mengagung-agungkan kumpulan pengganas itu, dan juga memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk menyertai mereka.
"Janganlah kita menyiarkan gambar-gambar mereka berpakaian seragam, gambar budak-budak pakai seragam, bawa senjata. Ini semua akan beri inspirasi (kepada) budak-budak kita sini untuk menyertai mereka.
"Budak-budak kita suka pakaian seragam, jadi jangan siarkan, jangan gambarkan mereka (sebagai) satu pasukan hebat.
"Kutuk mereka habis-habisan. Jangan mengagung-agungkan mereka sebab itu yang mereka hendak," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasminya di Putrajaya hari ini.
Pada 28 Jun lalu berlaku satu letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong, yang kemudian disahkan oleh Khalid sebagai mempunyai kaitan dengan elemen IS.
Ini menjadikan serangan itu sebagai yang pertama membabitkan IS di Malaysia.
Terdapat juga peningkatan dalam serangan pengganas di seluruh dunia ketika bulan Ramadan sebelum ini yang dianggap bulan paling suci dalam Islam.
Sementara itu, Zahid berkata, terdapat kebimbangan berhubung lebih 300 pengikut radikal ulama Indonesia Abu Bakar Bashir yang dipenjarakan kerana kegiatan pengganas bakal dibebaskan dari penjara-penjara tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, Indonesia dan Malaysia berkongsi semua maklumat berkaitan dengan keganasan.
"Dengan kerjasama imigrasi Indonesia dan jabatan imigresen Malaysia, kita bertukar maklumat termasuk bertukar cap jari atau biometrik.
"(Ini) agar mereka yang dibebaskan tidak akan berjaya menyelinap ke negara kita dan mempengaruhi mereka yang mudah dipengaruhi oleh propaganda IS," katanya.
No comments:
Post a Comment