Recent Post

Wednesday, September 07, 2016

Kenapa diskaun rumah bumiputera tak berguna


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

ULASAN Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) melihat polisi baru kerajaan negeri Selangor yang mewajibkan pemaju membina unit mampu milik dalam setiap pembinaan pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah) sebagai langkah ke arah perlaksanaan kawalan harga rumah.

Polisi tersebut selari dengan cadangan HartaGuam sebelum ini yang mahukan kerajaan sama ada kerajaan negeri mahu pun persekutuan, memperkenalkan harga siling sesuatu harta tanah untuk mengawal harganya yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Dasar itu juga sewajarnya diperluas untuk kesemua jenis hartanah kediaman di negeri tersebut dan bukannya sekadar terhad untuk unit pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan Sovo sahaja.

Melalui dasar itu, dilaporkan pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah SOHO dan Sovo yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Walaupun melalui dasar itu kerajaan negeri telah "menghapuskan" diskaun 10 peratus pembelian harta tanah untuk bumiputera, ia dilihat tidak akan memberikan kesan terhadap pemilikan harta tanah oleh bumiputera.

Tiada guna menawarkan diskaun kepada bumiputera sedangkan harga jualan asal harta tanah yang ditawarkan oleh pemaju sejak daripada awal lagi memang tidak mampu dimiliki oleh golongan tersebut, khususnya belia.

Perlu perincian

Misalnya, jika harga jualan asal untuk sesuatu harta tanah pun sudah melebihi RM500,000, jika diskaun 10 peratus ditawarkan kepada bumiputera sekalipun, ia tetap tidak mampu dimiliki golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Akhirnya apabila tiada golongan bumiputera yang mampu membeli, harta tanah tersebut akan ditawarkan kepada golongan bukan bumiputera.

Sebaliknya, menetapkan harga siling untuk bumiputera bagi sesuatu projek perumahan baru mampu memberi peluang kepada golongan bumiputera berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Pun begitu, dasar kerajaan negeri tersebut tidak harus hanya sekadar terhenti setakat itu sahaja.

Ia perlu diperincikan dengan lebih teliti supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membeli harta tanah tersebut secara pukal dan kemudian menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih mahal.

Kuota tersebut seharusnya dihadkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang masih belum memiliki rumah sahaja.

Dasar 'harga patut'

Proses pemilihan juga haruslah dikaji dan diperketatkan untuk memastikan hanya golongan yang berhak sahaja dibenarkan membeli harta tanah dalam kategori tersebut.

Yang paling penting, kerajaan negeri perlu memberi latihan dan pendedahan awal secara percuma kepada golongan belia atau golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Ini supaya mereka merancang dan menguruskan pendapatan serta kewangan dengan baik sebelum membuat keputusan membeli harta tanah dalam kategori harga tersebut.

Apalah gunanya dasar "harga patut" diperkenalkan dengan matlamat supaya lebih ramai golongan belia dan berpendapatan sederhana memiliki harta tanah sendiri, tetapi semuanya tidak lepas dari segi pembiayaan perumahan dengan bank.

Ini disebabkan kegagalan mereka merancang dan menguruskan pendapatan dan kewangan mereka dengan baik sejak daripada awal lagi.

Sudah pasti dasar tersebut tidak akan mencapai sasaran yang diharap-harapkan.

SALKUKHAIRI BIN ABD SUKOR presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *