Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
RNR Gurun Selatan Johan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri
GURUN, 12 Okt (Bernama) -- Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun arah selatan bukan sahaja menjuarai Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan peringkat negeri tahun ini, malah muncul sebagai johan peringkat kebangsaan, bagi kategori bangunan swasta.
Pengurus Wilayah Utara Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, kemenangan itu memang sesuatu yang tidak diduga selepas banyak kali mencuba, namun ia sangat bermakna serta memberi nilai tambah kepada RnR Gurun.
"Usaha yang kami lakukan ini merupakan komitmen dan emosi yang dizahirkan setiap kali tibanya Bulan Kebangasaan dan selepas berkali-kali mencuba, akhirnya kami menang pada tahun ini.
"Dari segi dekorasi, RnR Gurun arah selatan ini turut menerapkan sejarah kesultanan dengan memaparkan potret Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang pertama hingga yang terkini," katanya kepada Bernama selepas Majlis Apresiasi Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2016 d i RnR Gurun arah selatan di sini, malam tadi.
Sementara itu, pemenang bagi kategori individu, Azizan Kasa, 51, dari Kampung Pulau Siputeh, Kodiang berkata, beliau tidak menyangka penyertaannya di peringkat kampung membawa kepada kemenangan di peringkat negeri.
"Sebagai guru sejarah, ilmu saya manfaatkan sebaiknya untuk menjana idea dan menghias rumah dan persekitarannya. Saya gembira kerana ini bukan sahaja mendapat sokongan keluarga tetapi, penduduk kampung," katanya menambah inisiatif berkenaan turut menjadi teladan kepada generasi muda.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang, termasuklah wang tunai berjumlah RM9,500, disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia negeri Kedah, Aziman Hasan.
Aziman berkata, sebanyak 70 penyertaan diterima pada tahun ini melibatkan pelbagai kategori dan ia diharap akan bertambah pada tahun akan datang.
"Apa yang utama dalam sambutan ulang tahun kebangsaan negara adalah semua rakyat menterjemahkannya dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran.
"Inilah yang perlu dilakukan generasi pasca merdeka, iaitu menghayati, menyedari dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai harganya," katanya.
Pada majlis sama, Kolej Komuniti Sungai Petani diumumkan sebagai pemenang kategori bangunan kerajaan manakala Sekolah Kebangsaan Selama, Serdang dan Desa Keda Singkir Badong, Merbok, masing-masing memenangi kategori sekolah dan kampung.
Kategori pintu gerbang dimenangi Sekolah Kebangsaan Sungai Salleh, Serdang manakala Felda Teloi Timur muncul johan kategori Anjung Komuniti 1Malaysia.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment