Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Amir yang mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Kartini Ismail, 29 pada 5 Oktober 2013 telah dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan, Nur Izzah Amani yang kini berusia tiga bulan.
"Ini merupakan kali pertama saya menyambut Syawal sebagai seorang bapa. Tahun ini kami tidak keluar beraya kerana anak saya masih kecil lagi. Kami lebih banyak duduk di rumah dan menerima kehadiran tetamu," kata Amir ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran Indigital dengan kerjasama Suka Sucre Bistro baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman menjadi bapa pada usia yang muda, Amir menjelaskan yang dia banyak belajar perkara baru yang mematangkan dirinya untuk menggalas tugas sebagai seorang suami, bapa dan ketua keluarga.
"Jika sebelum ini saya hidup seb agai seorang lelaki bujang, banyak perkara yang saya kurang mahir. Kini setelah bergelar suami dan bapa, saya lebih peka. Saya kini sudah mahir memasak, mengemas kediaman dan menguruskan rumah untuk membantu isteri saya," katanya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim kesembilan ini sedang dalam proses untuk mengumpul material bagi menghasilkan album keduanya. Amir juga giat menulis lagu untuk diberikan kepada penyanyi-penyanyi tempatan lain.
"Saya baru sahaja menyiapkan lagu duet saya bersama Adibah Noor dan lagu tersebut bakal dikeluarkan sedikit masa lagi. Saya juga ada mencipta lagu bagi Amira AF2013, Atilia dan beberapa orang artis lagi," kata Amir mengakhiri sesi temubual.
Artikel ini disiarkan pada 31 Julai 2015.
No comments:
Post a Comment