Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Program TV yang digemari ramai iaitu 3R (Respek, Rileks & Respon) kini kembali dengan konsep dan pengisian yang baru iaitu Agen 3R untuk mencari bakat-bakat baru.
Ia terbuka kepada semua jantina tidak kira lelaki dan wanita. Agen 3R lebih berkonsepkan pencarian 'video jurnalis' yang perlu menghantar video mereka berdurasi dalam seminit.
Video yang ingin dihantar itu adalah bersifat bebas dan berkaitan dengan isu semasa, gaya hidup, keselamatan serta perhubungan.
Namun untuk pencarian agen ini, ia turut dibuka kepada Transgender yang kemungkinan mempunyai bakat dan daya kreativiti yang unik untuk diketengahkan.
Penerbitnya Lina Tan memberitahu, dia tidak merasakan ianya satu masalah kerana Agen 3R program bersifat terbuka dan amat tidak wajar untuk menyekat idea anak-anak remaja di luar sana.
"Saya tak anggap ia satu masalah pun, lelaki, wanita mahupun transgender masing-masing mempunyai daya pemikiran yang bijak untuk menghasilkan video kreatif mereka secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 3 orang.
"Kami memerlukan 25 orang Agen 3R, setelah dipilih mereka akan diberi latihan media percuma menerusi bengkel yang disediakan oleh pihak kami.
"Ia tidak akan disiarkan di saluran TV komersial tetapi akan disiarkan di laman web TV iaitu Feefo.TV. Saya yakin remaja sekarang sangat komited untuk menghasilkan video yang boleh memviralkan mereka dalam sekelip mata," kata Lina kepada portal Murai.com.my
Dalam pada itu, Lina turut ditanya adakah dia tidak bimbang sekiranya video yang dihantar oleh peserta bersifat perkauman mahupun isu politik.
Dengan senyuman dia membalas, bergantung kepada isi kandungan video itu. Kalau ia nampak menarik dan 'fresh' kemungkinan boleh dipilih untuk menjadi agen 3R.
"Saya tahu akan ada video daripada peserta yang akan meluahkan rasa geram, tidak puas hati dan menyampah dengan sesuatu pihak yang lain.
"Sebagai yang bertanggungjawab, kami akan menepis kalau ia terlalu keterlaluan. Jadi saya menyeru remaja yang berusia 18-27 tahun, hasilkanlah video yang terbaik dan terpilih untuk jadi agen kami," ujarnya mengakhiri bicara.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai program Pencarian Agen 3R, sila rujuk www.feefotv.tv/agen3r atau layari media sosial yang berikut untuk maklumat terkini Facebook: FEEFO.TV, Twitter: @officialFEEFOTV, Instagaram:@FEEFO.TV dan Youtube: FEEFO.TV
Oleh Mohd Ishahrulddin TahirArtikel ini Disiarkan Pada Jumaat, 27 Nov 2015
No comments:
Post a Comment