Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Setiap pesilat yang ingin melakukan petunjukan perlu memakai pakaian perlindung dan sentiasa diawasi jurulatih, kata penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim.
Ini susulan kejadian seorang remaja yang meninggal dunia akibat tikaman keris sewaktu membuat pertunjukan silat di majlis perkahwinan di Labuan, Sabtu lepas.
Mohd Amil Zulkarnain Jafar, 17, maut setelah tertikam oleh pasangan silatnya dengan keris ketika melakukan pertunjukan di majlis perkahwinan di KampungPatau-Patau, Labuan.
"Penggunaan jaket perlindung harus diperketatkan untuk mengelak perkara sebegini daripada berulang.
"Selain itu, jurulatih harus memastikan mereka yang akan membuat pertunjukan mempunyai pengalaman dalam pengunaan senjata tajam dan sentiasa dipantau persembahan mereka," katanya.
Sementara itu, Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mahu semua pengamal silat yang membuat demonstrasi seni mempertahankan diri itu supaya lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Namun Presiden Pesaka Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata persatuan tidak bercadang melarang penggunaan senjata dalam pertunjukan silat kerana ia merupakan tradisi yang dipraktikkan sejak sekian lama.
Menurutnya, penggunaan keris hanya dilarang digunakan di sekolah bagi tujuan pertunjukan atau latihan.
"Saya meminta semua pesilat supaya lebih berhati-hati ketika membuat pertunjukan menggunakan keris agar kejadian tidak diingini seperti yang telah berlaku tidak berulang lagi.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kejadian seperti ini sangat jarang berlaku," kata Mohd Ali.
- Bernama
No comments:
Post a Comment