Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha menarik masyarakat Cina kembali menyokong parti gabungan itu dengan menggalakkan para pemimpinnya mendekati mereka bagi memahami permasalahan dan kehendak mereka, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Saya percaya masyarakat Cina akan kembali bersama kerajaan kalau kita (pemimpin) rapatkan diri dengan rakyat, menyelami hati rakyat, merasa nadi rakyat dan ketahui apa yang mereka mahukan.
"(Untuk itu) pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan antaranya dengan mewujudkan program dan peluang melibatkan pemilikan rumah, perniagaan dan banyak lagi demi kebaikan rakyat," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu kepada pemberita pada Kenduri 1Wilayah Persekutuan (Kenduri 1WP) di Bukit Bintang di ibunegara malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.
Tengku Adnan juga menyeru para pengundi di kawasan Bukit Bintang supaya kembali bersama kerajaan BN supaya segala permasalahan politik dan ekonomi dapat diselesaikan dengan lebih teratur dan terjamin.
Lebih 3,000 orang menghadiri Kenduri 1WP, yang merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengukuhkan hubungan, persefahaman, perpaduan dan ukhuwah di kawasan Parlimen Bukit Bintang.
- Bernama
No comments:
Post a Comment