Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai keterlaluan apabila menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai 'Idi Amin Malaysia'.
Bung Mokhtar berkata bekas perdana menteri itu juga pernah dilabelkan sebegitu namun pemimpin Umno sentiasa mempertahankan beliau.
"Tun M sudah keterlaluan di mana semasa dia menjadi ketua pimpinan Umno selama 22 tahun lalu dia juga dilabel sebagai 'kuku besi' yang ketika itu saya ada bersama beliau tetapi kita mempertahankan dia sebab dia pemimpin kita," kata Bung Mokhtar dalam sidang medianya semalam.
Dr Mahathir yang dalam siri kempennya untuk calon parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'Idi Amin Malaysia'.
Tun Mahathir mendakwa bekas presiden Uganda itu menggunakan harta rakyat sehingga dia ditolak oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, Umno mempunyai prinsip di mana mereka akan mempertahankan setiap pemimpin mereka selagi tidak memudaratkan rakyat.
"Jadi dalam Umno, ini prinsip kita siapa pemimpin dan ketua, kita akan pertahankan selagi kita merasakan dia tidak memudaratkan rakyat.
"Umno ini, pemimpin datang dan pergi tetapi Umno akan berterusan sehingga masa akan datang. Sebab itu Umno ini kuat dan kita melihat bahawa cubaan pembangkang ditambah dengan kehadiran Tun M merupakan cubaan terlalu luar biasa," kata Bung Moktar.
Namun, Bung Moktar berkata beliau yakin Umno mampu mengharunginya.
"Tetapi saya percaya Umno sudah biasa dengan keadaan sebegini dan kita akan dapat mengharungi keadaan ini," tambahnya.
No comments:
Post a Comment