Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak menghormati dan tidak menafikan hak Datin Seri Rosmah Mansor sebagai isteri ketua negara yakni perdana menteri Malaysia.
Annuar berkata demikian mengulas perjalanan Rosmah menaiki jet peribadi untuk ke Istanbul, Turki baru-baru ini.
"Janganlah harap perjalanan isteri kepada perdana menteri di atas jadual penerbangan yang biasa, saya fikir tidak ada satu pemimpin pun di dunia ini yang berbuat demikian.
"Jadi, jangan kita menafikan hak seorang isteri perdana menteri atau perdana menteri dengan menyatakan dan cuba memberi bayangan seolah-olah ia disewa untuk kegunaan peribadi," kata Annuar kepada Malaysiakini.
Untuk hari ketiga berturut-turut, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli terus mendedahkan mengenai Rosmah menggunakan jet peribadi untuk ke Istanbul, Turki.
Manakala yang terbaru, anggota Parlimen Pandan itu berkongsi video dua minit yang kononnya menunjukkan Rosmah menaiki pesawat milik Emirates Airline dengan pegawainya membawa beg ke dalam pesawat.
Bagaimana pun pendedahan itu ditempelak pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor.
Mengulas perkara itu, Annuar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tidak timbul langsung soal penyalah gunaan kuasa mengenai perjalanan Rosmah.
Malah, Annuar menegaskan terdapat perbezaan antara tugasan peribadi dengan tugasan atas sifat isteri kepada perdana menteri.
"Ada bezanya tugasan peribadi dengan tugasan atas sifat isteri kepada seorang perdana menteri dan tugasan isteri kepada perdana menteri mesti dihormati, diberikan hak dan kedudukan serta apa yang selayaknya bagi beliau.
"Jadi tidak timbul langsung soal penyalah gunaan," kata Annuar.
Kata Annuar lagi, kenyataan Rafizi berhubung tindakan Rosmah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan satu perbuatan yang tidak baik, lebih-lebih lagi ia dibuat ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
"Saya ingat berpada-padalah walaupun kita ini nak berpolitik biarlah politik kita itu cermat dan biarlah berpaksikan kepada nilai tertentu sebagai individu muslim yang baik.
"Jet itu boleh disewakan kepada semua orang dan pada siapa saja yang menyewa, begitulah keadaannya," jelas Annuar.
No comments:
Post a Comment