Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan anggota Umno akan turut serta dalam perhimpunan BERSIH 4.0 yang akan diadakan Sabtu dan Ahad ini.
"Ada dakwaan mengatakan ada penyokong akar umbi Umno akan terlibat dengan perhimpunan ini. Jawapan saya, mana ada, ini semua cerita dakyah BERSIH yang kotor," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah program EkspresiSeni @ Kuala Lumpur Lake Garden Festival (KLLGF) 2015 di ibunegara hari ini.
Tengku Adnan, yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian bagi mengulas laporan berita portal bahawa anggota Umno akan turut serta dalam perhimpunan itu.
Beliau berharap orang ramai tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan dakyah penganjur perhimpunan itu.
Sementara itu, Tengku Adnan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap bertegas tidak akan membenarkan penganjuran perhimpunan itu diadakan di sekitar Dataran Merdeka hujung minggu ini kerana ianya akan menjejaskan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di lokasi berkenaan.
Katanya, DBKL tidak akan meluluskan lokasi perhimpunan berkenaan walaupun penganjur Bersih sebelum ini mendakwa hanya akan berkumpul di sekitar atau kawasan paling hampir dengan Dataran Merdeka dan tidak akan mengganggu persiapan sambutan acara tahunan itu.
"DBKL tidak akan luluskan berhubung lokasi perhimpunan di Dataran Merdeka dan di Padang Merbok. Kita tidak akan beri kebenaran...dia nak pergi, pergilah ke Stadium Malawati Shah Alam ke, ke mana sahaja. Jangan kacau Kuala Lumpur. Bila buat di KL (Kuala Lumpur), rakyat dan peniaga akan rasa tertekan," katanya.
Sebelum ini, polis telah meminta penganjur BERSIH 4.0 mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang, iaitu di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, ke tempat lain berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai untuk perhimpunan itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment