Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika menyampaikan syarahan di Forum Perdana bertajuk 'Perjalanan Ke Arah Kecemerlangan' sempena Hari Terbuka GLC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penurunan ringgit yang berlaku sekarang tidak seteruk seperti krisis kewangan Asia 1997/98 berikutan asas ekonomi negara yang kukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata, sistem perbankan tempatan ditambah dengan aktiviti ekonomi, masih utuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi, dan negara masih berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tahun ini.
"Pada 1997 dan 1998 (krisis kewangan Asia), kita terjejas teruk," katanya sambil menambah pada masa itu banyak faktor menjejaskan Malaysia, termasuk defisit perdagangan, rizab yang turun di bawah AS$30 bilion dan paras pinjaman tinggi dalam kalangan syarikat.
"Paras kita pada masa sekarang telah berubah dengan pesat, dengan kita mencatatkan lebihan perdagangan yang konsisten, rizab kita tiga kali lebih besar berbanding pada masa itu dan paras hutang korporat kita yang sebenarnya jauh lebih rendah," katanya selepas Forum Hari Terbuka GLC, di sini, hari ini.
Dari segi sistem perbankan, Wahid berkata bank-bank kini diurus dengan baik dan mempunyai mudah tunai serta aset berkualiti dan nisbah pinjaman import bersih berada pada paras 1.2 peratus, dikawal selia oleh bank pusat.
Mata wang tempatan meneruskan aliran menurunnya dengan ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini pada 3.9220/9250 daripada 3.9005/9035 pada Khamis.
Pada sesi penutup, ringgit turun 0.6 peratus kepada 3.9280 berbanding dolar AS, paras terendahnya sejak 2 September 1998, hari sebelum Malaysia menambat mata wang tempatan pada 3.8000 berbanding dolar AS ketika krisis kewangan Asia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment