Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
SPRM sedang menyiasat kes berprofil amat tinggi dan Bahri pernah bersumpah atas nama Allah untuk mencari "dalang" yang mengganggu pegawai agensi antirasuah berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa kecewa terhadap pertukaran dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
"Jangan kerana ada agenda, kita sanggup meruntuhkan apa sahaja institusi yang ada.
"Saya tidak sanggup membenarkan dan membiarkan keadaan seperti itu (berlaku)," kata Khairy.
Ahli Parlimen Rembau itu mengulas pertukaran Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikaso Strategik mereka, Datuk Rohaizad Yaakob, secara mengejut.
Kedua-dua mereka ditugaskan di Jabatan Perdana Menteri.
Rohaizad pula semalam menerima kunjungan wakil parti pembangkang di ibu pejabat agensi berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-64 Majlis Belia Malaysia (MBM) di Kuala Lumpur malam tadi, Khairy berkata beliau difahamkan salah seorang pegawai itu dipindahkan mungkin hanya kerana menerima kunjungan pembangkang.
Rakyat kian tak percaya
Tambahnya tindakan memindahkan pegawai yang sedang menjalankan siasatan hanya akan merosakkan imej SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda tertentu untuk menakut-nakutkan agensi berkenaan.
Tegasnya, kebebasan untuk menjalankan tugas perlu dikembalikan kepada SPRM agar institusi itu tidak dilihat lemah sehingga menimbulkan reaksi dan persepsi buruk di mata masyarakat.
"Saya harap tindakan seperti ini dapat dihentikan segera dan intimidasi terhadap SPRM mestilah berhenti.
"Saya tidak boleh terima institusi seperti SPRM pemindahan pegawai-pegawai ini saya lihat sungguh pelik dan sangat mengecewakan seolah-olah ada intimidasi yang terancang terhadap SPRM bagi saya melemahkan institusi itu," katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, tindakan menukar pegawai SPRM itu sangat tidak adil sehingga akan menimbulkan lebih banyak spekulasi dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
"Kalau tindakan sebegini diteruskan, maka kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan menjadi lebih teruk.
"Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan, jangan sesekali kita serang institusi ini," katanya.
No comments:
Post a Comment