Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Seorang penduduk menemui bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan di tepi jalan berhampiran longkang di kawasan perumahan Taman Sri Pelangi, Mantin dekat Nilai semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata bayi yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira pukul 6.40 pagi ketika wanita berusia 40-an berkenaan sedang berjalan kaki untuk pergi ke tempat kerja.
"Bayi yang diletakkan di atas batu itu dijumpai dalam keadaan sejuk dan hanya dibalut dengan tuala. Setakat ini kita masih belum dapat kenal pasti bangsa bayi berkenaan.
"Bayi seberat 2.78 kilogram itu berkulit cerah dan tidak ada kesan cedera atau luka. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya semalam.
Menurut Zaldino, bayi itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang tahu mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.
Mayat ditemui
Sementara itu, mayat seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia sejak empat hari lepas ditemui di sebuah unit di tingkat 12 Flat Hang Tuah di ibunegara malam tadi.
Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam dan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Rumah berkenaan berkunci dengan mangga, anggota berjaya memecahkan mangga rumah terbabit pada pukul 10 malam dan menemui mayat itu.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat hari lepas dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.
"Identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenalpasti dan siasatan sedang dijalankan," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment