Recent Post

Monday, January 11, 2016

Hakisan pantai terus belenggu pendudukk pesisir pantai T'ganu


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

"Tidak mustahil, akibat hakisan yang tidak berpenghujung, generasi akan datang hanya tahu kewujudan pantai dan bukannya sebuah perkampungan".

Ia antara keluhan penduduk kepada Bernama ketika tinjauan di beberapa perkampungan di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu yang menghadapi masalah hakisan pantai ekoran musim tengkujuh setiap tahun.

Pengerusi Wakaf Kebajikan Nelayan Kampung Tengah, Kuala Terengganu Abdullah Abd Ghani, 58, berkata, kejadian hakisan paling dahsyat pernah berlaku di kawasan berkenaan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Tidak mustahil, suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengetahui tentang kewujudan pantai dengan cerita sejarah semata-mata, jika tiada langkah segera untuk mengekang masalah hakisan yang kian teruk ketika ini," katanya.

Menurut Abdullah, fenomena hakisan pantai berkenaan secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan nelayan yang bergantung sepenuhnya pada hasil laut dan paling membimbangkan ialah bangunan yang menjadi tempat pengumpulan hasil laut, juga akan lenyap jika masalah hakisan tidak dibendung.

Jelasnya, sebagai usaha untuk menyelamatkan bangunan Wakaf Kebajikan Nelayan Kampung Tengah yang menjadi pusat pengumpulan hasil dan stor air batu, dilakukan sendiri pihaknya dengan membina benteng pasir.

Justeru, penduduk berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan membaik pulih tebing pantai yang terhakis dan membina semula benteng pemecah ombak yang lebih kukuh.

Sementara itu, bagi 30 keluarga di Kampung Pantai Laut, Paka, Dungun setiap kali musim tengkujuh dan angin kencang melanda, tidur mereka terganggu sejak empat tahun lalu kerana bimbang rumah dipukul ombak sekali gus menyebabkan hakisan berlaku.

Tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati beberapa kediaman kini berada pada tahap berbahaya kerana dikhuatiri pada bila-bila masa sahaja ia boleh runtuh sekiranya berlaku ombak besar.

Benteng pemecah ombak yang dibina pada 2014 juga dilihat tidak mampu menahan ombak yang besar kerana batu yang digunakan telah runtuh akibat hakisan.

Seorang penduduk Mohamad Osman, 67, berkata ekoran itu mereka terpaksa memindahkan barangan rumah ke rumah waris terdekat dan menumpang di sana kerana bimbang tentang keselamatan sekeluarga.

"Kami tiada pilihan dan rumah lain untuk berteduh selain menumpang di rumah anggota keluarga kerana bimbang perkara lebih buruk berlaku," katanya.

Zuremi Mohamad, 30, yang menetap di kampung berkenaan 13 tahun lalu, turut mengambil langkah sama dengan menumpang di rumah anggota keluarga terdekat.

"Apabila tiba musim ombak besar, saya sering risau rumah dipukul ombak yang boleh menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku.

"Kini, saya menumpang di rumah anggota keluarga yang lain namun bila menjelang tengah malam, saya tetap pulang untuk melihat keadaan rumah takut dihanyutkan ombak," katanya.

Keadaan sama turut membelenggu kira-kira 37 nelayan di Kampung Tengah Mengabang Telipot, Kuala Nerus apabila hakisan pantai yang melanda Kampung Tanjung Gelam, sebelum ini, telah merebak ke penempatan mereka.

Keresahan mereka itu berasas apabila dalam tempoh kira-kira tiga tahun, dianggarkan lebih 50 meter kawasan pantai telah ditelan ombak dengan sebahagian daripada bangunan telah pun lenyap.

- Bernama




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *