Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Panel pemilih bagi Komponen Sastera (Komsas) disaran agar meneliti secara mendalam sebelum sesebuah novel dipilih untuk dijadikan teks Sekolah Menengah.
Editor Kanan Bahagian Buku Umum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shahrul Nizal Mohd Nor berkata setiap karya harus dibaca sehingga selesai agar memahami struktur penulisan serta mengetahui keseluruhan isi kandungan novel yang dipilih.
"Panel tersebut telah diberi tanggungjawab untuk berperanan memilih karya yang terbaik yang dapat memberi kebaikan serta mempunyai makna kepada masyarakat. Jadi kaji ia terlebih dahulu dulu sebelum membuat pilihan," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai novel 'Pantai Kasih' yang dijadikan Komsas Tingkatan Empat tetapi dikatakan turut terpalit dengan unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat, sehingga mencetus kemarahan ibu bapa dan orang ramai.
Dilaporkan Kementerian Pendidikan telah mengambil maklum tentang perkara ini dan sedang menyiasat.
Di samping itu Shahrul Nizal berkata penerbit buku umum juga perlu menitikberatkan kualiti penulisan yang akan diterbitkan supaya ia dapat membina pemikiran pembaca daripada hanya berdasarkan kepada faktor keuntungan semata-mata.
"Penerbit buku tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada hasil penulisan picisan yang bersifat popular kerana mahu mengejar keuntungan," katanya yang turut menyebut mengenai lambakan novel cinta dengan segala macam tajuk di pasaran berbanding buku ilmiah.
Beliau berkata penulis juga perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat membaca yang hebat dengan menghasilkan penulisan yang baik menerusi penggunaan struktur bahasa yang mudah dan tidak mengelirukan pembaca.
"Penulis perlu bertanggungjawab dengan tidak menghasilkan karya yang meracuni pemikiran pembaca. Jangan melacurkan bakat mereka, gunakan penulisan yang baik untuk tujuan yang sepatutnya," katanya.
Penulis novel misteri 'Terjah Sarang Puaka', Syahbudien Abdullah pula berpendapat menjadi tanggungjawab penulis untuk menyampaikan buah fikiran dan idea penulisan tanpa menggunakan gaya bahasa yang negatif dan lucah.
"Jika dahulu kita lihat ramai penulis berkarya kerana memperjuangkan sesuatu perkara mengikut zaman semasa, demi menyampaikan maklumat dan hasrat mereka, tapi kini penulis lebih cenderung menulis berdasarkan idea dan imaginasi mereka semata-mata," katanya.
Justeru itu penulis dan penerbit buku perlu memahami antara satu sama lain dalam menerbitkan sesebuah karya agar ia selari dengan peredaran zaman dan sekali gus dapat mengasah minda pembaca, katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment