Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Hari itu, hari yang memenatkan sebenarnya. Pagi 2 April itu, Budiey masih berada di Tanjung Tualang, Kampar, tidak sampai sehari pun jalan-jalan singgah di kampung Cyrill sambil merakam satu vlog review kereta Jetta keluaran Volkswagen. Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur menjelang tengahari itu.
Gara-gara banyak sangat perkara nak dilunaskan, Budiey sampai lambat juga di perkarangan Stadium Negara. Lebih kurang dalam jam 8 malam macam tu. Nasib baik konsert belum bermula. Khabarnya, ada hamparan karpet merah di luar stadium. Tapi tidaklah nampak pula ramai selebriti di situ. Kelihatan ramai juga peminat Dato' Siti Nurhaliza yang sampai lewat. Buat apa nak dikejar sangat sebenarnya sebab konsert bermula jam 9 malam.
Selesai mendaftar nama di meja pendaftaran media, kami pun terus masuk ke Stadium Negara dan mendapati tempat duduk sudah pun hampir penuh. Sangkaan di mana ada rongga-rongga kosong tidak tepat sebab hampir keseluruhan tempat duduk sudah berpenghuni.
Wajah masing-masing cukup excited untuk melihat satu lakaran sejarah terpateri di mana Konsert Dato Siti Nurhaliza & Friends dikatakan bertaraf antarabangsa. Lima bintang! Yelah, tengoklah siapa yang taja konsert ini… Yonder Music dan Xpax (Celcom). Bukan calang-calang penaja. Apatah lagi apabila konsert ini diserikan lagi dengan 'friends' seperti Anggun, Cakra Khan, Afgan, Hafiz Suip dan Faizal Tahir. Ironiknya apabila ini juga kali pertama Budiey menyaksikan persembahan Anggun secara live. Auranyaaa kebabooom!
Siti Nurhaliza! Budiey bangga dengan kejayaan yang tidak putus-putus mewarnai dunia seni. Kagum, satu kata diksi yang sesuai untuk mengungkap rasa Budiey sepanjang durasi konsert 2 jam itu. Rasanya semua tahu, selain mengiktiraf 20 tahun penglibatan penyanyi nombor satu itu sebagai anak seni, konsert ini sedar tak sedar merupakan konsert yang ke-30 pernah dipentaskan oleh beliau. Tahniah Dato' Siti Nurhaliza.
Giler tidak obses jika dah sentiasa diberi peluang untuk buat liputan figura ini. Obsesnya seperti mana obses untuk memiliki semua album sebagai koleksi walaupun kini dah senang menggunakan streaming cuma.
Konsert ini juga adalah bekalan buat rindu peminat nanti sebelum beliau berehat panjang dari dunia seni. Khabarnya, selepas ini Dato' Siti akan bercuti panjang.
Semasa sidang media sebelum ini pun, Dato' Siti mahu melakukan yang terbaik dan dia akan all-out demi kepuasan peminat. Ada tiga segmen dan slot yang menggabungkan segmen akustik, band dan orkestra. Di mana ketiga elemen ini pernah dibuat sebelum ini.
40 pemuzik orkestra, 5 penyanyi jemputan, berdurasi 2 jam, 20 buah lagu, Ribuan Peminat, Satu FiguraBudiey tidak meletak harapan terlalu tinggi walaupun katanya ada 40 pemuzik orkestra dan band The Ghotham All Stars yang dibawakan khas dari New York. Mesti bunyi satu yang wow kan? Budiey rasa dalam ramai penyanyi, Dato' Siti memang jujur menjual muziknya. Ya, dalam bisnes muzik bukan setakat nak jual muzik tapi seseorang penyanyi itu perlu ada jiwa dan keikhlasan untuk buat yang terbaik demi kepuasan peminat.
Permulaan konsert ini menampilkan tarian ballet atau dan tarian rutin dari seorang kanak-kanak perempuan yang mana menjadi simbolik kepada Siti yang sedang bekerja keras untuk berlatih kareografi untuk sebuah persembahan.
Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, Siti membawakan hampir 20 buah lagu di mana menerusi segment akustik, Siti menyampaiakan rangkaian lagu keramatnya seperti Aku Cinta Padamu, Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagi Mu secara solo.
Pentas persembahan semakin bertenaga dengan paduan persembahan bersama Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu menerusi segment bersama band.
Penyanyi Anggun seterusnya memanaskan suasana menerusi lagu Snow On The Sahara dan Bukan Cinta Biasa yang dinyanyikan secara duet bersama Siti. Mengakhiri segmen band, Siti menyampaikan lagu Cindai yang diberi nafas baru, namun cukup mesra telinga.
Siti terus memukau ribuan penonton dengan vokal mantapnya saat menyampaikan sebuah lagu Inggeris berjudul Memories di segmen orkestra.
Lagu yang disampaikan secara 'duet digital' bersama idolanya mendiang Whitney Houston amat terkesan diingatan penonton.
Beliau pernah dicop diva termuda negara. Bayangkan diusia beliau 22 tahun, dia dah pun merangkul kira-kira 53 anugerah dalam tempoh enam tahun pembabitannya. Dia pernah menang antaranya Best Vocal performance di South Pacific, Singing Contestdi Australia. Selain top di Indonesia, dia juga dimasukkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Artis Paling Banyak Menerima Anugerah. Dia juga bersih dari gossip.
Paling manis apabila lagu MEMORIES merupakan lagu Whitney Houston yang belum sempat dikeluarkan sebelum kematiannya dan diberikan kepada Siti dengan bantuan pihak Yonder Music untuk terus diangkat ke persada antarabangsa dalam waktu terdekat ini.
Tidak terhenti di situ, sorakan padu penonton terus menggegarkan isi ruang Stadium Negara apabila Siti tampil dengan beberapa buah lagu duet bersama artis-artis lelaki popular antaranya Hafiz (Muara Hati), Cakra Khan (Seluruh Cinta) Faizal Tahir (Bagaikan Sakti) dan Afgan (Biarlah Rahsia).
Budiey fikir, Dato' Siti Nurhaliza sejenis artis yang menghargai karya dan beliau juga mengkagumi pengkarya lagu-lagunya. bukan itu sahaja, beliau punya apreasasi melekat sampai bila-bila untuk pengkarya itu. Contoh paling dekat, semasa konsert ini beliau ada memberi kredit dan buat tribute untuk komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan dengan menyampaikan lagu Jerat Percintaan yang cukup berhantu.
Masih dalam segmen yang sama, Siti tidak mengecewakan penonton dengan mengalunkan lagu-lagu kegemaran para peminatnya seperti SEINDAH BIASA, KAU SANGAT BERERTI, MENATAP DALAM MIMPI dan LEBIH INDAH dengan penuh bertenaga.
Klimaks konsert ditamatkan dengan dengan nyanyian beramai-ramai dari semua artis yang terlibat menerusi lagu KAU ILHAMKU yang mana lagu ini menjadi lagu promo untuk pelancaran Yonder Music satu ketika dulu.
Tidak dinafikan sorak peminat yang rata-ratanya Sitizoners mengegarkan Stadium Negara. Budiey pun sorak juga. Sorak dalam hati kerana ada terpalit rasa gundah gelana dengan kesilapan sendiri.
Budiey mengikuti transisi muzik Dato' Siti Nurhaliza dari zaman bergelumang dengan buku pelajaran kat Universiti. Zaman kaset sehinggalah adanya CD dan muzik streaming ni. Budiey enjoy dengan konsert ini. Sekurangnya dalam hati tu rasa terhibur. Melupakan seketika masalah yang menyelimuti hati. Budiey percaya, semua yang datang terhibur juga.
Konsert ini Budiey sifatkan satu klimaks dalam sejarah beliau. Segalanya terbaik. Pentasnya yang gah, luas dan dihiaskan dengan lampu-lampu yang bergemerlapan. Budiey berpuas hati dengan sistem bunyi yang cukup sempurna.
Selamat bercuti buat Dato' Siti Nurhaliza. Memang dapat cuti puas-puas selepas ini la ya sebab dah all-out bekerja keras untuk konsert ini. Katanya, akan bercuti di luar negara, haaa kat mana destinasinya, kenalah kita tunggu.
Komen via FacebookKomen
No comments:
Post a Comment