Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA 2016) sekali lagi bakal mencatatkan sejarah dalam industri kreatif dan penyiaran tanah air apabila acara gilang-gemilang ini akan berlangsung selama dua malam berturut-turut di Auditorium Perdana Angkasapuri. ASA pada 20 Mei 2016 akan diacarakan pengacara RTM, Terence Dass bersama Adibah Noor. Manakala Kemuncak Seri Angkasa 2016 pada 21 Mei 2016, menggandingkan pengacara RTM, Muaz Mohamad dan Nana Mahazan. Penyampai anugerah terdiri daripada personaliti semua stesen TV dan radio terlibat.
Anugerah Seri Angkasa 2016 Bertemakan Evolusi Tanpa Batasan Berlangsung di Angkasapuri Pada 20 dan 21 Mei IniASA 2016 sekali lagi menyaksikan RTM mencatat jumlah penyertaan tertinggi. RTM menghantar 249 pencalonan bagi 38 kategori TV dan 19 kategori Radio. Astro pula menghantar 227 pencalonan, diikuti Media Prima 159 pencalonan. Manakala 14 pencalonan dihantar stesen TV Alhijrah, yang pertama kali menyertai ASA. Sebanyak 52 pencalonan diterima melalui saluran Suria FM, Ikim FM, 988 FM, Best FM, Bernama Radio, dan IM4U FM.
Kedua-dua acara akan disiarkan secara langsung pada 20 dan 21 Mei ini menerusi saluran TV1, RTM bermula 9.00 malam. Pada 21 Mei, kemuncak ASA 2016 turut akan bersiaran secara langsung melalui Astro Ria, TonTon (Media Prima) serta Suria FM.
ASA 2010 merupakan kali terakhir Anugerah Seri Angkasa diadakan dan kini ASA 2016 kembali ke pentas majlis penganugerahan yang memartabatkan penggiat-penggiat seni industri kreatif penyiaran tanah air. Ia juga sebagai suatu bentuk pengiktirafan RTM kepada pengamal penyiaran, khususnya untuk krew penerbitan dan siaran, penerbit, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.
Bertemakan Evolusi Tanpa Batasan, sebanyak 38 pencalonan Kategori TV dan 19 pencalonan Kategori Radio menjadi rebutan peserta. ASA akan turut mengiktiraf pekerja-pekerja di belakang tabir industri kreatif yang merupakan tenaga kerja penting dalam merealisasikan sesebuah penerbitan.
Penyertaan terbuka kepada semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta yang programnya disiarkan melalui siaran tidak berbayar (terrestrial) dan setelit. Stesen TV yang menyertai ialah RTM, Astro, Media Prima, TV Alhijrah, serta stesen-stesen radio termasuk Nasional FM, Traxx FM, Minnal FM, AiFM, Suria FM, Ikim FM, 988 FM, Best FM, Bernama Radio, dan IM4U FM.
Antara kategori TV yang dipertandingkan dan menjadi tumpuan malam tersebut ialah Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Skrip Drama Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Drama TV Terbaik, dan Hiburan TV Muzikal Terbaik. Bagi kategori Jurukamera TV Terbaik, Kru Kamera TV Terbaik, Promo TV Terbaik, Montaj TV Terbaik, Suntingan Rancangan TV Terbaik adalah antara kategori yang mengiktiraf pekerja-pekerja belakang tabir.
Kategori TV, ASA 2016 menerima pencalonan terbanyak untuk kategori Drama TV Terbaik. Bagi kategori Radio, penyertaan terbanyak yang dihantar ialah bagi kategori DJ Radio Wanita Terbaik iaitu sebanyak 29 pencalonan.
Dua kategori khas turut diberikan iaitu Anugerah Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
Seperti ASA yang lepas, setiap kategori yang dipertandingkan seratus peratus diadili oleh juri-juri profesional yang terdiri daripada golongan ahli akademik, ahli profesional penggiat seni dan karyawan. Ini membuktikan hanya yang terbaik akan diangkat dan dimartabatkan di ASA 2016.
Komen via FacebookKomen
No comments:
Post a Comment