Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?
ULASAN Kami merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan (TMBK), Datuk Haji Mohd Amar pada 4 Otober 2016 yang mengatakan permintaan 50 ekar sekeluarga untuk Orang Asli (OA) Gua Musang adalah besar jumlahnya dan sukar untuk dipertimbangkan sebagai wilayah adat Orang Asli. Permintaan ini telah dibawa melalui memorandum oleh Biro Orang Asal PSM dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) pada 30 Mac 2016 kepada Menteri Besar Kelantan.
Apakah rasional di sebalik permintaan 50 ekar sekeluarga?
- Bilangan keluarga Orang Asli di Gua Musang dianggarkan sebanyak 3,500 keluarga (berdasarkan bilangan penduduk 17,000 orang dan setiap keluarga mempunyai 5 anggota);
-- 50 ekar sekeluarga bermaksud 3,500 x 50 ekar = 175,000 ekar;
-- Keluasan Gua Musang = 2,020,480 ekar;
-- 175,000 ekar dari jumlah keluasan Gua Musang hanya 8.6 peratus; dan
-- Bilangan penduduk Orang Asli di Gua Musang ialah 18.8 peratus.
Maka, jumlah tanah yang dipohon dalam konteks 50 ekar sekeluarga hanyalah separuh daripada peratusan penduduk Orang Asli di Gua Musang. Berbanding dengan pemberiaan konsesi pembalakan, tanah yang digazetkan sebagai wilayah adat kepada Orang Asli akan kekal sebagai kawasan hutan menjamin kelestarian alam sekitar, kerana itulah budaya mereka yang hidup menjaga alam sekitar. Sejak turun temurun Orang Asli menjaga hutan dan kehidupan liar daripada dirosakkan oleh tauke balak dan pemburu haiwan terpelihara.
Terdapat juga tuntutan-tuntutan lain dalam memorandum berkenaan yang berkaitan dengan tuntutan 50 ekar sekeluarga seperti berikut:
-- Kerajaan negeri harus menawarkan 50 ekar setiap keluarga ataupun tanah yang dipohon oleh setiap kampung berdasarkan pemetaan komuniti yang sedang mereka laksanakan;
-- Tanah yang diluluskan sebagai tanah masyarakat Orang Asli harus dipegang oleh Orang Asli di bawah geran komunal dan bukan geran persendirian; dan
- Segala penerokaan hutan baru di Lojing dihentikan segera sehingga isu tanah komunal ini selesai. Kerajaan Kelantan telah menerima memorandum enam bulan lepas dan tidak berbuat apa-apa.
Jika kerajaan Kelantan mendapati tuntutan yang diminta terlalu besar, kenapakah Orang Asli tidak dipanggil berunding? Jika kerajaan negeri Kelantan merasakan mereka tidak mampu menawarkan 50 ekar, mereka harus mengadakan rundingan secara profesional dengan Orang Asli untuk tawaran alternatif.
Tetapi mereka lebih minat berunding dengan tauke balak berbanding dengan Orang Asli setempat, selepas itu, mengatakan wujudnya salah faham di antara tauke balak dan Orang Asli!
Kami tidak faham dengan kenyataan TMBK bahawa permintaan Orang Asli tidak dibuat secara 'proper'. Adakah pemberian memorandum lengkap dengan nama kumpulan yang menghantar, alamat, nombor telefon, penerangan masalah dan senarai tuntutan tidak 'proper'?
Adakah TMBK dan kerajaan Kelantan tidak faham akan kandungan surat-surat yang dihantar kepada Pejabat MB Kelantan dan pegawai daerah Gua Musang meminta temujanji? Ini namanya berdolak-dalik!
Di bawah, kami senaraikan beberapa tindakan utama yang telah diambil oleh Biro Orang Asli PSM bersama JKOASM sejak tahun 2014:
-- 19/1/2014: Satu perjumpaan telah diadakan di antara Dr Jeyakumar dari PSM, wakil Biro Orang Asli PSM, JKOASM dengan Ustaz Abdullah (penyelaras DUN Galas), Ustaz Azman Ahmad (penyelaras Parlimen Gua Musang), Ustaz Zulkefli (pengerusi Lajna Alam Sekitar PAS pusat). Ustaz Abdullah dan Ustaz Azman telah berjanji untuk mendapatkan temujanji dengan exco kerajaan Kelantan tetapi tiada jawapan.
-- 30/3/2016: Memorandum kepada menteri besar Kelantan meminta temujanji berjumpa dengan penduduk Orang Asli Lojing. Jawapan diterima pada hujung April 2016 mengatakan MB tidak sihat bertemu.
-- 25/7/2016: Memorandum kepada pegawai daerah Gua Musang meminta temujanji berjumpa dan moratorium untuk hentikan segala penolakan tanah di Lojing. Jawapan diberi bahawa isu ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Tanah Kerajaan Negeri tetapi selepas itu tiada jawapan.
Di samping tindakan-tindakan utama di atas, berpuluh-puluh surat telah sepanjang tiga tahun lepas kepada menteri besar Kelantan, pegawai daerah Gua Musang, YDP Majlis Daerah Gua Musang dan Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK). Kebanyakannya tidak mendapat jawapan dan jika dijawab, tiada langkah penyelesaian dalam jawapan tersebut.
Kami berharap kerajaan Kelantan berhenti membuat 'damage-control' yang tidak kena pada tempatnya. Kenyataan TMBK bahawa isu blockade (sekatan) adalah kerana salah-faham di antara pembalak dan Orang Asli adalah bersifat kebudakan!
Biro Orang Asli PSM telah melawat blockade (sekatan) ini pada 4 Oktober 2016 dan kami menegaskan ini bukan salah faham tetapi pencabulan hak Orang Asli oleh sebuah syarikat pembalak dengan kerajaan Kelantan!
Disediakan oleh Suresh Kumar dari Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM)
No comments:
Post a Comment